Umno hilang cita-cita ketuai kerajaan, Khir perjelas sebab sertai Bersatu

Umno hilang cita-cita ketuai kerajaan, Khir perjelas sebab sertai Bersatu

Bekas menteri besar Khir Toyo kata parti yang mahu bantu orang Melayu harus miliki cita-cita menjadi kerajaan.

Bekas menteri besar Khir Toyo kata beliau telah bertemu Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agungnya, Azmin Ali. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Umno sudah hilang cita-cita untuk mengetuai kerajaan di Selangor malah Putrajaya, dakwa bekas menteri besar Khir Toyo menjelaskan sebab beliau menyertai Bersatu.

Khir, yang menjadi menteri besar dari 2000-2008, mengesahkan beliau diterima menyertai Bersatu pada 1 Julai.

Di mata Khir, Umno sekarang sekadar parti pelengkap tanpa cita-cita untuk menjadi kerajaan.

“Di Selangor umpamanya, mereka hanya dibenarkan bertanding di 12 kerusi DUN. Mana mungkin dengan hanya 12 kerusi, walaupun menang semua, boleh menjadi menteri besar,” katanya kepada FMT, merujuk situasi pada PRN 2023.

Khir juga merasakan Umno tidak akan ‘diberi’ kerusi secukupnya di peringkat Parlimen, tanpa menjelaskan punca spekulasi itu.

“Peringkat pusat saya ingat tak sampai 40 kerusi akan diberikan kepada Umno. Kalau menang semua Umno kembali jadi perdana menteri? Sebab itu Umno sekarang parti ‘supplement’, bukan lagi macam dulu di mana Umno dominan.”

Khir berkata beliau mahu lihat Umno meneruskan cita-cita itu di sebalik kekalahan, namun akhirnya membuat keputusan untuk berhijrah. Beliau akui pernah bertemu Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agungnya Azmin Ali.

“Keputusan yang dibuat ini telah dibuat secara matang dan mendalam,” kata bekas Adun Sungai Panjang ini.

Dalam pada itu, Khir menepis anggapan beliau menyertai Bersatu kerana kecewa atau merajuk dengan mana-mana pihak.

“Saya tak kecewa dalam politik, saya sudah capai tempat paling tinggi sebagai menteri besar. Tak ada cita-cita nak jadi menteri besar semula,” katanya.

Khir sekali lagi menekankan pentingnya sesebuah parti itu dilihat memiliki cita-cita untuk menjadi kerajaan.

“Saya cuma nak bantu parti yang ada cita-cita nak jadi kerajaan. Bukan saya nak jadi menteri besar, kita kena bagi orang lain tapi parti mesti ada cita-cita.

“Kalau nak tolong orang Melayu mesti ada kuasa,” katanya.

PKR menerajui kerajaan Selangor melalui Pakatan Rakyat dan kini Pakatan Harapan sejak 2008, selepas tumbangnya kerajaan BN di bawah Khir.

Khir, bekas wakil rakyat selama tiga penggal, pernah dipenjara selama setahun kerana salah guna kuasa pada 2015 dan dibebaskan dengan parol selepas menjalani hukuman selama enam bulan.

Beliau cuba membuat kemunculan semula pada PRU15 dengan mengumumkan hasrat untuk bertanding di kerusi Parlimen Sungai Besar.

Namun, BN memutuskan untuk mencalonkan Ketua Umno Sungai Besar Jamal Yunos sebagai calon.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.