Terengganu lancar portal cari jodoh

Terengganu lancar portal cari jodoh

Portal Jodoh Darul Iman (PJDI) itu diwujudkan untuk membantu golongan bujang serta ibu dan bapa tunggal di Terengganu mencari pasangan hidup secara patuh syariah.

Menerusi laporan SeaAsia Stats, Malaysia berada di tempat ketiga dalam kalangan negara Asia Tenggara yang mempunyai paling ramai individu belum berkahwin. (Gambar Envato Elements)
PETALING JAYA:
Kerajaan Terengganu melancarkan portal Jodoh Darul Iman bagi membantu golongan bujang serta ibu dan bapa tunggal di negeri itu mencari pasangan hidup secara selamat serta patuh syariah.

Menteri Besarnya Ahmad Samsuri Mokhtar berkata inisiatif itu bukan sahaja mempercepatkan proses mencari jodoh, malah menyediakan ruang bimbingan, panduan dan sokongan kepada pasangan yang sedang bersuai kenal menuju perkahwinan.

“Usaha ini diharap dapat meningkatkan kadar perkahwinan dalam kalangan rakyat negeri Terengganu, seterusnya meningkatkan kadar kelahiran di negeri ini,” katanya ketika berucap pada perasmian program berkenaan.

Samsuri turut menekankan trend global perkahwinan lewat usia, enggan berkahwin atau tidak mahu mempunyai anak, yang boleh memberi kesan jangka panjang kepada struktur masyarakat dan keluarga.

“Kalau lihat perkara ini berlaku dalam satu tempoh yang tertentu… ianya akan mendatangkan pelbagai kesan yang besar dalam negara kita seperti demografi, kesan sosial yang tak dapat kita bayangkan bagaimana berlaku di negara-negara barat…,” katanya.

Justeru Samsuri berkata usaha yang dilakukan pihaknya mampu menyelesaikan masalah berkenaan.

“Selebihnya kita mohon kepada semua mereka di luar sana supaya turut menyahut seruan daripada kita ini kerana kita kena lihat kerangka yang besar untuk memastikan kelangsungan kependudukan dalam negeri dan dalam negara kita ini,” katanya.

Menerusi laporan SeaAsia Stats, Malaysia berada di tempat ketiga dalam kalangan negara Asia Tenggara yang mempunyai paling ramai individu belum berkahwin.

Ia melaporkan bahawa Malaysia mempunyai 44.68% individu bujang iaitu belum berkahwin, bercerai, berpisah atau balu.

Dalam carta membabitkan 11 negara Asia Tenggara itu, Malaysia berada di belakang Brunei (44.9%) dan Kemboja (44.60%) iaitu mencatatkan peratusan yang hampir sama iaitu sekitar 44%.

Kajian itu berdasarkan sumber daripada Divisyen Populasi Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) Statistik Populasi & Bujang berdasarkan data pada 2021.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.