
Beliau berkata, pada 2018 kadar pengangguran di Terengganu mencatatkan 4.8% – antara yang tertinggi di Semenanjung Malaysia ketika itu. Namun, dua tahun lalu angka itu menurun kepada 3.1%, lebih rendah berbanding kadar pengangguran nasional 3.2%.
Menurutnya, penurunan itu menggambarkan keberkesanan dasar pembangunan ekonomi dan tenaga kerja kerajaan negeri dalam memperkukuh pasaran buruh, meningkatkan keupayaan modal insan serta memperluas peluang pekerjaan kepada rakyat.
“Perkembangan positif ini turut memperlihatkan kejayaan kerajaan negeri dalam merealisasikan komitmen manifesto PRU14, iaitu penyediaan 20,000 peluang pekerjaan untuk rakyat Terengganu,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Samsuri berkata, kerajaan negeri turut melaksanakan pelbagai langkah proaktif bagi mencipta lebih banyak peluang pekerjaan, antaranya melalui sesi libat urus bersama agensi serta pihak industri, penubuhan Terengganu Human Resource Development Centre (THRDC) dan Pusat Cari Kerja Terengganu.
“Penganjuran Karnival Kerjaya serta pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan, agensi dan industri strategik seperti sektor penerbangan turut membuka lebih banyak ruang serta peluang kerjaya kepada rakyat negeri ini,” katanya.
Pada Januari 2022, Ahli Parlimen Kuala Nerus Alias Razak, yang ketika itu memegang portfolio exco kerajaan tempatan, perumahan, kesihatan dan alam sekitar Terengganu, pernah dikritik berhubung satu hantaran media sosial mengenai mekanisme pelaksanaan janji manifesto PAS itu.
Menerusi Facebook, Alias memuat naik gambar acara pelepasan sekumpulan pekerja Terengganu yang akan memulakan kerja di Shah Alam.
“Salah satu tawaran manifesto PAS Terengganu pada PRU14 ialah menyediakan 20,000 peluang pekerjaan,” katanya sambil mengucapkan tahniah kepada THRDC atas usaha mengurangkan kadar pengangguran di negeri itu.