Pemaju Residensi Aman Lumayan sedia teliti cadangan sekolah vertikal

Pemaju Residensi Aman Lumayan sedia teliti cadangan sekolah vertikal

Danau Lumayan Sdn Bhd berkata pihaknya akan berunding dengan DBKL dan Jabatan Wilayah Persekutuan untuk meneliti semula keperluan selaras konsep perumahan madani.

Anwar Ibrahim melihat model projek Residensi Wilayah Aman Lumayan yang majlis pelancarannya disempurnakan, hari ini.
KUALA LUMPUR:
Danau Lumayan Sdn Bhd, pemaju projek Residensi Wilayah Aman Lumayan sedia mempertimbangkan saranan Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya projek itu diwujudkan sekolah vertikal, bagi menampung keperluan penduduknya.

Pengarah Urusan Danau Lumayan Sdn Bhd Shahril Reza Shaheen berkata pihaknya akan mengadakan rundingan lanjut dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Jabatan Wilayah Persekutuan untuk meneliti semula beberapa keperluan selaras dengan konsep perumahan madani.

“Jika ada ruang, kita akan teliti semula keperluan untuk bina sekolah di tapak Aman Lumayan atau dibina di kawasan sekitar,” katanya kepada media pelancaran Projek Residensi Wilayah Aman Lumayan di Cheras, Kuala Lumpur.

Terdahulu, Anwar ketika berucap merasmikan projek itu mahu perumahan melebihi 3,000 unit dilengkapi kemudahan pendidikan dari pra sekolah sehingga menengah termasuk ruang sekolah vertikal (bertingkat), sebagai syarat utama pembinaannya.

Menurutnya, ia selaras dengan konsep perumahan madani rakyat, meliputi penyediaan kemudahan asas menyeluruh dan berpusat mengambil kira keperluan pelbagai golongan.

Mengulas lanjut, Shahril Reza berkata syarat diletakkan itu wajar mengambil kira ruang tanah yang semakin terhad khususnya di kawasan bandar.

“Kita tahu tanah amat terhad khususnya di bandar, jadi dengan pembangunan semakin pesat, ia sebagai peringatan juga kepada pemaju supaya tidak mengabaikan syarat-syarat asas ini.” katanya.

Projek Residensi Wilayah Aman Lumayan membabitkan pembinaan 3,438 unit kediaman berharga RM300,000 turut dilengkapi pelbagai kemudahan seperti tadika, ruang niaga, parkir, surau dan kolam renang.

Projek kediaman mampu milik itu dibangunkan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.01 bilion di Bandar Sri Permaisuri, Cheras melalui tiga fasa iaitu Fasa 1, Fasa 2A, dan Fasa 2B yang akan siap dalam tempoh lima tahun.

Menurut Shahril Reza, tempahan dan pendaftaran pembelian akan dibuka seawal bulan ini.

Katanya, projek itu berdekatan dengan cadangan jajaran Laluan Lingkaran (MRT3) Stesen Sri Permaisuri iaitu kurang dari 500 meter.

“Projek dimulakan dengan Fasa 2B, melibatkan binaan setinggi 55 tingkat dengan 26 unit di setiap aras.

“Keistimewaan projek ini ialah reka bentuk bangunan berbentuk ‘Y’ bagi memastikan setiap pemilik menikmati pemandangan sendiri tanpa berdepan dengan unit lain,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.