7 sindiket salah guna jenama Residensi Wilayah dikesan

7 sindiket salah guna jenama Residensi Wilayah dikesan

Kementerian Wilayah Persekutuan berkata sindiket itu mengeluarkan surat tawaran dan tandatangan pegawai palsu dengan menggunakan kepala surat kementerian.

Sindiket terbabit mengakibatkan kerugian kepada mangsa yang tertipu, menurut Kementerian Wilayah Persekutuan.
PETALING JAYA:
Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) mengesan tujuh aduan membabitkan salah guna jenama Residensi Wilayah oleh sindiket atau pemaju sejak 2019 hingga kini.

Menjawab pertanyaan Hasan Arifin (BN-Rompin), kementerian itu juga menerima aduan berkenaan sindiket penipuan yang menawarkan rumah mampu milik dengan harga rendah menggunakan logo kementerian dan logo RUMAWIP bagi mengaburi mata pembeli.

“Sindiket ini juga mengeluarkan surat tawaran palsu dengan menggunakan kepala surat kementerian dan tandatangan pegawai yang palsu. Sindiket ini telah mengakibatkan kerugian kepada mangsa yang tertipu,” kata kementerian itu dalam jawapan dimuat naik di laman sesawang Parlimen.

Hasan meminta kerajaan menyatakan inisiatif dalam mengesan pemaju atau sindiket yang menyalahgunakan jenama Residensi Wilayah bagi mengelirukan pembeli.

Menjelaskan perkara itu, KWP berkata, pihaknya secara aktif memaklumkan kepada orang awam bahawa pemohon Residensi Wilayah mesti berdaftar dan memohon melalui portal Residensi Wilayah.

“Mana-mana individu yang berminat untuk membeli Residensi Wilayah perlu membuat permohonan melalui portal rasmi Residensi Wilayah. Segala urusan permohonan adalah melalui janaan sistem dan atas talian.

“Notifikasi tawaran juga akan dihantar melalui emel yang didaftarkan oleh pemohon,” kata kementerian itu.

Katanya, berdasarkan Peraturan-peraturan Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1989 bagi melindungi kepentingan pembeli dan pematuhan peraturan di bawah Akta 118, tiada sebarang bentuk kutipan wang boleh dilakukan oleh pemaju daripada pemohon termasuklah kutipan yuran komitmen sebelum menandatangani perjanjian jual beli.

“Kementerian juga telah menasihatkan pemohon bahawa sebarang aduan berkaitan kutipan bayaran juga boleh dikemukakan terus kepada Sistem Aduan Bersepadu Jabatan Perumahan Negara di laman sesawang aduan.kpkt.gov.my,” jelas kementerian itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.