PM mahu perumahan skala besar ada sekolah vertikal

PM mahu perumahan skala besar ada sekolah vertikal

Anwar Ibrahim mahu pemaju projek menekankan konsep perumahan madani rakyat, meliputi penyediaan kemudahan asas menyeluruh dan berpusat.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim melihat model projek Residensi Aman Lumayan yang akan dibangunkan di Bandar Tasik Permaisuri, Cheras.
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menggesa setiap projek perumahan rakyat berskala besar di ibu negara menyediakan kemudahan asas termasuk ruang sekolah vertikal (bertingkat).

Berucap merasmikan Residensi Aman Lumayan di Bandar Tasik Permaisuri, Anwar berkata juga mahu pemaju projek menekankan konsep perumahan madani rakyat, meliputi penyediaan kemudahan asas menyeluruh dan berpusat.

Menurut Anwar, sesebuah projek perumahan meliputi lebih 3,000 unit harus ada syarat seperti keperluan penyediaan kemudahan pendidikan dari pra sekolah sehingga menengah untuk kemudahan penduduk.

“Mesti ambil beberapa blok di situ dengan lif khas untuk sekolah vertical mesti ada.

“Jadi saya anggap satu blok boleh diteruskan (jika sekolah vertikal dibina)… satu blok lagi mesti ditangguh sehingga semua syarat-syarat ini dipenuhi.

“Kalau tidak dipenuhi, jangan teruskan,” katanya melancarkan projek Residensi Aman Lumayan di Cheras, Kuala lumpur.

Sehubungan itu, Anwar berkata perancangan teliti harus dibuat dalam melaksanakan sesebuah projek dengan membabitkan pemaju dan perancang bandar di agensi kerajaan.

“Mana sekolahnya? Mana tadikanya? Mana pra-sekolahnya? Mana ruang kesihatannya? Itu kena ada. Dan kalau sekolah vertikal kena ada lif khas.

“Sebab itu pegawai perancang harus faham apa dia kerangka madani,” katanya sambil menegaskan gesaan menyediakan pelbagai kemudahan bukan untuk membebankan pemaju dengan kos tambahan.

Projek Residensi Wilayah Aman Lumayan membabitkan pembinaan 3,438 unit kediaman berharga RM300,000.

Pengarah Urusan Danau Lumayan Sdn Bhd Shahril Reza Shaheen berkata projek itu meliputi tiga fasa yang akan siap sepenuhnya dalam tempoh lima tahun.

Menurutnya, antara kelebihan projek itu adalah berhampiran pelbagai kemudahan.

“Ini termasuk cadangan jajaran Laluan Lingkaran (MRT3) Stesen Sri Permaisuri terletak kurang 500 meter daripada perumahan terbabit,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.