Laporan penuh siasatan awal Zara Qairina dikembali kepada polis, kata peguam negara

Laporan penuh siasatan awal Zara Qairina dikembali kepada polis, kata peguam negara

Mohd Dusuki Mokhtar berkata pihaknya sudah keluarkan arahan beberapa perkara untuk polis melaksanakan penelitian.

Zara Qairina
Zara Qairina Mahathir, 13, dikatakan terjatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah yang dikaitkan dengan kes buli pada 16 Julai lalu dan meninggal dunia sehari kemudiannya. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Laporan penuh siasatan awal kematian pelajar sekolah agama, Zara Qairina Mahathir, 13, diserahkan semula kepada polis, kata Peguam Negara Mohd Dusuki Mokhtar.

Katanya, laporan siasatan itu diserahkan pihaknya kepada polis semalam untuk pihak berkuasa melengkapkan siasatan.

“Yang kita serah balik bukan IP (kertas siasatan) tapi laporan (penuh siasatan awal). Kita dah bagi arahan tertentu, maknanya ada beberapa benda yang kita kena ‘compile’ (susun) balik.

“Kalau nak pergi secara perinci, saya tak boleh nak cakap di sini…tetapi ada beberapa perkara yang perlu dilengkapkan. Saya tak boleh nak dedahkan apa dia,” katanya menurut Berita Harian, di Putrajaya.

Sebelum ini, dilaporkan Jabatan Peguam Negara (AGC) sedang meneliti secara mendalam laporan penuh siasatan awal diterima daripada polis, mengenai kes kematian Zara.

Laporan itu diterima masing-masing pada 3 Ogos dari Cawangan Sabah dan pada 4 Ogos lalu di Ibu Pejabat Putrajaya.

Menurut AGC, penelitian dilakukan meliputi semua aspek undang-undang dan fakta bagi memastikan setiap keputusan yang bakal diambil berlandaskan prinsip keadilan serta selaras dengan undang-undang negara.

Mengulas lanjut, Dusuki berkata, pihaknya sudah mengeluarkan arahan beberapa perkara untuk polis melaksanakan penelitian.

Mangsa yang juga pelajar Tingkatan Satu di sebuah sekolah di Papar, Sabah, dipercayai terjatuh dari tingkat tiga dan ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang, berhampiran asrama pada 4 pagi, 16 Julai lalu.

Mangsa disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I di Kota Kinabalu.

Pada 31 Julai lalu, Pesuruhjaya Polis Sabah Jauteh Dikun memaklumkan polis tidak menolak kemungkinan unsur buli terbabit dalam kejadian itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.