Hubungan Putrajaya dengan Sarawak lebih kukuh di bawah Anwar, kata penganalisis

Hubungan Putrajaya dengan Sarawak lebih kukuh di bawah Anwar, kata penganalisis

Dick Lembang Dugun dari Unimas berkata hubungan antara kerajaan negeri dan persekutuan adalah yang paling kukuh dalam tempoh beberapa dekad.

Dick Lembang Dugun and Anwar ibrahim
Penganalisis politik Dick Lembang Dugun berkata di bawah pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Sarawak diberi lebih ruang dan kuasa, khususnya berkaitan perkara MA63.
KUCHING:
Hubungan Sarawak dengan kerajaan persekutuan kini berada pada tahap paling kukuh sejak beberapa dekad, hasil pendekatan berunding Putrajaya, kata seorang penganalisis politik dari negeri Borneo itu.

Dick Lembang Dugun dari Universiti Malaysia Sarawak berkata lebih banyak perkongsian kuasa berasaskan rundingan antara pentadbiran Anwar Ibrahim dengan Sarawak, khususnya berkaitan hak-hak rakyat Sarawak.

“Ada kematangan dalam rundingan ini dan manfaat untuk Sarawak dapat dilihat,” katanya kepada FMT dalam satu temu bual.

Beliau berkata, di bawah pentadbiran persekutuan sebelum ini, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) lebih banyak menjadi topik perbincangan tetapi kini kerajaan perpaduan mengiktiraf keperluan untuk melaksanakannya.

“Sebelum ini, ia sekadar perbincangan. Tetapi di bawah PMX (Anwar), kita lihat Borneo diberi lebih ruang dan kuasa,” tambahnya.

Dugun berkata pengundi di kawasan luar bandar Sarawak turut semakin menghargai bantuan dan geran pembangunan daripada kerajaan persekutuan yang secara langsung meningkatkan taraf hidup mereka.

“Banyak bantuan disalurkan kerajaan persekutuan melalui Sumbangan Tunai Rahmah dan bentuk bantuan lain untuk meringankan beban golongan miskin, khususnya terlibat dalam pertanian,” katanya merujuk kepada inisiatif Sejati Madani.

“Dalam tinjauan lapangan kami bertanya kepada penduduk luar bandar mengenai politik dan mendapatkan pandangan mereka untuk memperoleh maklumat daripada peringkat akar umbi. Dan mereka menyokong kerajaan persekutuan. Mengapa? Kerana bantuan sampai kepada mereka,” tambahnya.

Beliau berkata, melalui Sejati Madani, banyak kampung luar bandar menerima geran yang membantu mereka menjana pendapatan melalui penternakan ikan, ayam dan penjualan telur.

Rakyat Sarawak masih utamakan parti tempatan

Bagaimanapun, Dugun berkata, pengundi di Sarawak secara umumnya masih mengutamakan parti-parti tempatan — termasuk gabungan parti pemerintah negeri, Gabungan Parti Sarawak (GPS) — berbanding entiti nasional seperti PKR atau DAP.

“Parti tempatan lebih memahami keperluan Sarawak,” katanya sambil menambah walaupun DAP masih mendapat sokongan, pengaruh PKR dilihat lemah.

“DAP masih relevan, tetapi bagi PKR, mereka tidak mempunyai pemimpin berwibawa di Sarawak. PKR seolah-olah ‘beku’ dan tidak mampu mendapat sokongan.

“Jika mereka mempunyai pemimpin baik untuk memainkan peranan semak dan imbang terhadap kerajaan negeri dengan betul, mereka mungkin mendapat sambutan.”

Dugun turut menggesa GPS mewujudkan mekanisme semak dan imbang secara institusi untuk mengekalkan demokrasi sihat.

“Dalam amalan demokrasi, semak dan imbang amat penting. Malah dalam parti sendiri pun mesti ada semak dan imbang. Walaupun mereka (penyokong kerajaan) menyokong negeri, mereka mesti lebih lantang bersuara.”

Sarawak mempunyai 82 kerusi DUN, hanya dua daripadanya dipegang pembangkang — iaitu DAP.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.