
Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) berkata, RUU itu perlu dibentangkan semula bagi menetapkan hukuman syariah yang setaraf dengan mahkamah sivil.
“RUU 355 ini telah diluluskan oleh Jemaah Menteri di bawah kerajaan PN tetapi tidak sempat dibentangkan di Parlimen akibat pembubaran Parlimen pada Oktober 2022.
“Saya pohon sambung sahaja kerja-kerja teknikal yang masih berbaki untuk membolehkan RUU 355 dibentangkan semula di Parlimen,” katanya semasa membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat.
Tahun lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar berkata, sesi libat urus bagi meminda RUU tersebut sudah berada pada peringkat akhir, dan ia akan dibentangkan di Parlimen.
RUU 355 pertama kali dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh Presiden PAS Hadi Awang pada April 2017.
Menurut Ahli Parlimen Marang itu, pindaan akta itu bertujuan memperkasakan mahkamah syariah dan meningkatkan hukuman jenayah sedia tanpa membabitkan masyarakat bukan Islam.
Dalam pada itu, Abd Ghani mencadangkan agar perasuah dihukum dengan penjara dan denda maksimum atau dilucutkan harta.
Beliau berkata, langkah ini penting dalam usaha membanteras rasuah agar menjadi pengajaran kepada orang ramai.
“Dalam membanteras rasuah ini, tidak cukup dengan amaran keras, tindakan disiplin dan gantung tugas sahaja,” katanya.