Rasuah lebih RM800,000, 2 pemilik syarikat dicekup

Rasuah lebih RM800,000, 2 pemilik syarikat dicekup

Dua suspek lingkungan 50-an minta suapan bagi urus permohonan lot tanah dari Jabatan Tanah dan Survei Sarawak.

Mahkamah Majistret 2 Kuching membenarkan dua suspek itu direman SPRM sehingga 11 Ogos. (Gambar SPRM)
PETALING JAYA:
Dua pemilik syarikat direman kerana disyaki meminta dan menerima rasuah lebih RM800,000 bagi menguruskan permohonan lot tanah di Kuching dari Jabatan Tanah dan Survei Sarawak.

Sumber berkata, kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 50-an ditahan 8 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki bersubahat meminta dan menerima wang rasuah sebagai dorongan membantu menguruskan permohonan mendapatkan lot tanah di Kuching bagi tujuan pembangunan komersial, sedangkan permohonan tersebut tidak pernah wujud.

“Kedua-dua suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut sekitar 2020 hingga 2021,” katanya.

Perintah reman enam hari sehingga 11 Ogos dikeluarkan Majistret Ling Hui Chuan selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret 2 Kuching, pagi tadi.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sarawak Hasbilah Mohamad Salleh ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.