
Tindakan-tindakan ini berikutan perjanjian rundingan semula tarif baru-baru ini dengan Amerika Syarikat (AS) yang menyaksikan pengurangan tarif ke atas barangan Malaysia daripada 25% kepada 19%.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, perjanjian yang berkuat kuasa pada 1 Ogos itu dicapai selepas ‘beberapa bulan rundingan yang intensif tetapi teliti serta sistematik’ tanpa Malaysia berkompromi terhadap ‘garisan merah’ dalam bidang-bidang utama.
Dalam ucaptamanya pada majlis The Edge Malaysia Centurion Club Awards 2025 di Kuala Lumpur hari ini, Tengku Zafrul berkata, garisan merah itu merangkumi had-had ekuiti asing dalam sektor strategik, perlindungan undang-undang dalam syarikat digital, piawaian halal dan pelbagai bidang lain.
Namun katanya, perkara utama ialah pakej rundingan itu merupakan tawaran menyeluruh negara – bukan hanya daripada pihak kerajaan, tetapi melibatkan semua pihak, termasuk syarikat-syarikat yang turut menyumbang.
Dengan perjanjian tarif yang telah berkuat kuasa itu, Tengku Zafrul berkata, kerajaan kini memberi tumpuan kepada tiga bidang utama, bermula dengan program jangkauan bagi menyokong pemain industri dan pengeksport.
“Ada antara anda di dalam dewan ini mungkin terkesan, namun sekali lagi kita akan melibatkan keseluruhan ekosistem pengeksport – bukan hanya syarikat multinasional, tetapi juga semua perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menyokong pengeksport utama,” katanya, lapor Bernama.
Dalam pada itu, katanya, kerajaan berhasrat menyegerakan pembaharuan industri dengan mengurangkan kerenah birokrasi serta menyemak semula peraturan bagi menghapuskan pertindihan, peruntukan yang lapuk dan proses yang tidak relevan.
“Yang ketiga, kita perlu memperkukuh daya tahan rantaian bekalan kita dengan memperkasakan peranan industri tertentu dalam rantaian bekalan global,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia sedang mencapai kemajuan yang baik dalam projek pemetaan rantaian bekalan, bertujuan mengenal pasti setiap pemain yang terlibat dalam kegiatan ekonomi bagi sektor-sektor industri utama.
Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, syarikat-syarikat peringkat pertengahan Malaysia, ditakrifkan sebagai syarikat tersenarai dengan permodalan pasaran antara RM100 juta hingga RM1 bilion, kekal penting kepada aspirasi pertumbuhan negara di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.
“Bagi saya dan kementerian, anugerah seperti Centurion ini dilihat sebagai salah satu sumbangan sektor swasta kepada perjalanan Malaysia ke arah menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi, mampan dan berdaya saing di peringkat global,” katanya.