
Pelajar Tingkatan 1 itu dikatakan terjatuh dari tingkat tiga asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Papar, 16 Julai lalu dan dikaitkan dengan kes buli.
Zara Qairina meninggal dunia sehari kemudiannya.

Ketua portfolio pendidikan Perikatan Nasional (PN) itu bersetuju dengan langkah peguam keluarga mangsa yang telah memohon proses terbabit untuk menentukan sama ada wujud unsur jenayah dalam kematian Zara Qairina.
“Lakukan inkues ke atas adik Zara. Saya setuju dengan permohonan peguam,” kata Saifuddin dalam hantaran di X.
Pada sidang Dewan Rakyat, minggu lalu, ahli majlis pimpinan tertinggi (MPT) Bersatu itu turut membangkitkan isu membabitkan kes Zara Qairina dan mahu keadilan ditegakkan.
Terdahulu, peguam kepada keluarga Zara Qairina, Hamid Ismail dan Shahlan Jufri mendakwa wujud kepincangan dalam kertas siasatan kes itu yang diterima Jabatan Peguam Negara (AGC) itu.
Mereka membangkitkan pelbagai isu antaranya ketiadaan bedah siasat dan pakaian serta barang peribadi semasa ditemui tidak diambil polis untuk siasatan
Hamid Ismail dan Shahlan Jufri juga berharap AGC dapat melaksanakan kuasa di bawah seksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah untuk mengarahkan majistret mengadakan inkues bagi menentukan sama ada wujud jenayah dalam kes itu.
Minggu lalu, ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat mengarahkan peguamnya menguruskan proses bagi membolehkan kubur anaknya digali semula untuk melakukan bedah siasat terhadap jenazahnya.
Noraidah mendakwa pengebumian jenazah anaknya pada malam 17 Julai lalu dilakukan tanpa proses bedah siasat kerana tiada pihak mencadangkan kepadanya untuk berbuat demikian.
Semalam, AGC berkata pihaknya sedang meneliti laporan penuh siasatan awal diterima daripada polis berhubung kes kematian Zara Qairina.