
Rajsurian Pillai, peguam mewakili bekas setiausaha agung Muda itu berkata dalam prosiding di hadapan Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan hari ini, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Anis Wahidah Mohamad telah memohon DNAA.
“Pembelaan tiada bantahan untuk TPR menarik balik kes, tapi kami mohon DAA.
“Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah putuskan untuk beri keputusan Jumaat ini,” katanya kepada FMT.
Pada 26 Ogos 2022, Amir mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur berhubung perhimpunan ‘Mana Kapal Tempur Pesisir (LCS)’ diadakan 12 hari sebelum itu
Amir sebagai penganjur didakwa gagal memaklumkan kepada pegawai polis mengawasi Dang Wangi, lima hari sebelum perhimpunan diadakan di luar kompleks Sogo di Kuala Lumpur.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 9(5) akta sama, memperuntukkan denda maksimum RM10,000 jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun pada 1 Julai lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan adalah melanggar perlembagaan untuk menjenayahkan kegagalan memaklumkan polis lima hari lebih awal sebelum mengadakan perhimpunan aman.
Ketua hakim negara ketika itu, Tengku Maimun Tuan Mat, yang menyampaikan keputusan sebulat suara lima panel hakim berkata Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 mengenakan hukuman yang melebihi had dibenarkan bawah Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan.
Beliau berkata, seksyen itu adalah ‘campur tangan yang tidak seimbang’ dan merupakan larangan, bukannya sekatan hak itu.
Keputusan itu berpunca daripada cabaran perlembagaan dikemukakan Amir terhadap pertuduhan dikenakan terhadapnya.