
SPRM dalam kenyataan berkata pelantikan mereka dibuat oleh perkenan Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri mengikut Seksyen 13 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Mereka yang dilantik termasuk bekas ketua pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) Yusof Ismail, dan Presiden Persatuan Pemeriksa Fraud Bertauliah Akhbar Satar.
Akhbar juga merupakan bekas presiden Transparency International Malaysia.
Turut dilantik bekas timbalan ketua pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Zainal Azman Abu Seman dan bekas timbalan ketua setiausaha perbendaharaan Othman Semail.
Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara Narimah Awin dan Naib Canselor Universiti Kepimpinan dan Pengurusan Penguatkuasaan (ELMU) Kassim Mohamed.
Ketua pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, menyerahkan surat pelantikan kepada mereka di ibu pejabat suruhanjaya itu hari ini.
Pada Mac lalu, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Salim Fateh Din dilantik bagi mengetuai lembaga itu untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa 2 Feb.