WCE diberi lebih masa cabar pampasan tanah hampir RM50 juta

WCE diberi lebih masa cabar pampasan tanah hampir RM50 juta

Mahkamah Rayuan menyatakan tiada kesilapan boleh dirayu oleh Mahkamah Tinggi yang memerlukan campur tangan kehakiman.

Court of Appeal Mahkamah rayuan
Mahkamah Rayuan membenarkan West Coast Highway Sdn Bhd mencabar pampasan diberikan kepada 15 pemilik tanah tiga tahun lalu berhubung pengambilan tanah di Selangor walaupun lewat selama tujuh bulan.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan telah menolak 14 rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memberikan West Coast Expressway Sdn Bhd (WCE) lebih masa untuk membantah pampasan hampir RM50 juta kepada pemilik tanah terjejas dengan projek lebuh raya itu.

Panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Lim Chong Fong memutuskan Mahkamah Tinggi telah menggunakan budi bicara dengan sewajarnya di bawah Seksyen 35 dan 38 Akta Pengambilan Tanah 1960 (LAA) dalam membenarkan lanjutan masa itu.

“Tiada kesilapan boleh dirayu yang memerlukan campur tangan kehakiman,” kata Lim yang bersidang bersama Wong Kian Kheong dan Alwi Abdul Wahab.

Bantahan WCE terhadap pampasan diberikan oleh pihak berkuasa tanah Selangor dijadualkan didengar oleh Mahkamah Tinggi di Shah Alam pada 18 Sept.

Pertikaian berpunca daripada pengambilan sebahagian tanah seluas 2.09 hektar di Lot 10478, Mukim Klang, iaitu sebahagian tanah diperuntukkan untuk Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat bernilai RM6 bilion — laluan sepanjang 233km yang menghubungkan Banting di Selangor ke Changkat Jering di Perak.

Pada Mei 2021, WCE selaku konsesi lebuh raya dan pembayar utama bagi pengambilan itu, memilih untuk menarik diri daripada pengambilan asal dan sebaliknya mengambil sebahagian tanah yang lebih kecil, iaitu 1.52 hektar.

Keputusan ini dibuat berikutan peningkatan kos projek dan pelarasan semula jajaran lebuh raya untuk mengurangkan rizab yang diperlukan serta meminimumkan impak struktur.

Tindakan ini mencetuskan prosiding pampasan baharu di bawah Seksyen 35 LAA.

Pada 7 Feb 2022, 15 pemilik berfaedah bagi 15 lot tanah dianugerahkan pampasan berjumlah RM49,935,546.50 akibat penarikan balik tersebut.

Daripada jumlah itu, RM47,889,148.00 adalah berkaitan kos gangguan perniagaan sepanjang tempoh 41 bulan — walaupun lot tanah tersebut diklasifikasikan sebagai tanah pertanian.

WCE hanya menerima pemberitahuan rasmi dan salinan anugerah (Borang LC) pada September 2022, iaitu tujuh bulan selepas anugerah itu dikeluarkan.

Pada 8 Dis 2022, syarikat itu memohon lanjutan masa di bawah Seksyen 38(4) LAA untuk memfailkan Borang N dan membantah dari segi kesahan dan jumlah pampasan tersebut.

Pada 21 Dis tahun berikutnya, Mahkamah Tinggi di Shah Alam membenarkan permohonan WCE, dengan mendapati bahawa kelewatan itu disebabkan oleh kegagalan pihak berkuasa negeri menyampaikan Borang LC tepat pada masanya — satu fakta yang diakui sendiri oleh pihak berkuasa.

Mahkamah memutuskanya sebagai ‘keadaan khas’ yang membolehkan budi bicara kehakiman digunakan memihak kepada WCE.

Mahkamah Tinggi juga mengambil kira WCE telah bertindak segera selepas menerima anugerah tersebut dan tiada prejudis akan timbul kepada pemilik tanah kerana permohonan itu hanya bertujuan membolehkan bantahan substantif dibicarakan dalam prosiding rujukan tanah.

Peguam Steven Thiru, David Ng Yew Kiat dan Ananthan Moorthi mewakili WCE, manakala G Thangadurai dan Ong Siew Min mewakili pemilik tanah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.