Siasatan polis dapati dakwaan pemimpin PKR berkait audit dalaman, kata menteri

Siasatan polis dapati dakwaan pemimpin PKR berkait audit dalaman, kata menteri

Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu juga berkait 'permasalahan pentadbiran dalam organisasi parti'.

Lai Chen Heng
Ketua PKR Wangsa Maju Lai Chen Heng berkata, sebuah klip video tular telah disunting dan disebarkan untuk mencemarkan imejnya. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Siasatan polis ke atas dakwaan seorang pemimpin PKR berhubung sumbangan kewangan tidak diaudit kepada sebuah cabang mendapati isu itu berkisar tentang pengauditan dalaman, kata menteri dalam negeri.

Dalam jawapan bertulis Parlimen, Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan, perkara itu juga berkaitan dengan ‘permasalahan pentadbiran dalam organisasi parti’.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) berhubung status siasatan terhadap klip video tular memaparkan seorang lelaki dipercayai ketua PKR Wangsa Maju.

Pada Mei, sebuah video yang tular di beberapa platform media sosial dilihat memaparkan Ketua PKR Wangsa Maju Lai Chen Heng mengulas mengenai sumbangan kewangan kepada cabang itu daripada seorang ahli perniagaan terkemuka.

Beliau didakwa merujuk sumbangan itu sebagai ‘dana tidak diaudit’ yang dikaitkan dengan seorang pemimpin politik kanan.

Lai bagaimanapun menegaskan, klip itu telah disunting dan disebarkan untuk mencemarkan imejnya.

Pada April, beliau menafikan dakwaan bahawa penyata kewangan cabang itu bagi 2024 telah dimanipulasi.

Beliau berkata, dakwaan sedemikian tidak berasas dan bermotifkan politik, menambah laporan kewangan yang dibentangkan semasa mesyuarat agung tahunan cabang pada 1 Mac tidak menerima sebarang bantahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.