
Ketua Penerangan Dewan Himpunan Pendukung PAS, Balachandran Gopal Krishnan, berkata MIC dan partinya pernah menubuhkan kerajaan di bawah dua perdana menteri iaitu Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob.
“Kerjasama dengan MIC bukan baharu, sebelum ini kita tubuh kerajaan bersama di Putrajaya di bawah kepimpinan Muhyiddin dan Ismail,” katanya kepada FMT.
Presiden MIC SA Vigneswaran pada Sabtu mengumumkan ia membuka ruang perbincangan dengan parti lain demi kelangsungannya.
Pengumuman itu beberapa hari selepas Timbalan Presiden M Saravanan beritahu Utusan Malaysia bahawa MIC akan menentukan hala tuju selepas mesyuarat agung tahunan pada Oktober.
Malah, menurut laporan 27 Julai itu, Saravanan dilaporkan sebagai ‘tidak berani’ mengiyakan atau menidakkan, ketika ditanya sama ada MIC akan sertai PN.
Balachandran berkata pihaknya terbuka untuk menjalin semula kerjasama dengan MIC.
Namun, untuk mengelakkan konflik pada masa depan, MIC harus memahami dasar PAS dan komponen PN lain.
Balachandran turut akui bahawa MIC kelihatan terpinggir dalam Barisan Nasional.
“Kita mengalukan tetapi perlu memahami dasar parti dalam komponen termasuk PAS supaya kehadiran mereka itu nanti tidak timbul sebarang konflik,” katanya.
Sementara itu, Presiden MIPP, P Punithan berkata beliau dan Vigneswaran mempunyai hubungan baik, namun soal kerjasama tidak pernah dibincangkan antara mereka.
Punithan menyeru kenyataan Vigneswaran ditangani dengan cermat, memandangkan ia membawa maksud yang luas.
“Konteks ucapan itu adalah sedia untuk berbincang dengan mana-mana parti. Dua tiga hari lepas, beliau nyatakan akan bekerjasama rapat dengan kerajaan perpaduan untuk menjayakan RMK13. Banyak maksudnya,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Sayap Bersekutu Bersatu, R Sanjeevan, menyorot perhatian kepada potensi kerjasama antara MIC, pihaknya, DHPP, Gerakan dan MIPP.
Sanjeevan berkata pihaknya memperakui kedudukan MIC sebagai sebuah parti yang sudah lama bertapak dan mempunyai akar umbi.
“Hari ini, sokongan kaum India kepada MIC kembali pulih. Saya percaya jika MIC boleh bekerjasama dengan PN, ia akan mengukuhkan PN,” katanya.