Kerajaan laksana sistem tapisan awal penumpang di KLIA

Kerajaan laksana sistem tapisan awal penumpang di KLIA

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata sistem itu bolehkan pihak berkuasa terima maklumat pengembara sebelum mereka tiba.

autogate klia
Kementerian Dalam Negeri juga bergerak ke arah pendigitalan sepenuhnya perkhidmatan imigresen khusus melalui perluasan penggunaan sistem pintu automatik di seluruh negara. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan akan melaksanakan sistem penapisan awal penumpang bermula hujung tahun ini sebagai sebahagian usaha membendung kemasukan haram di KLIA, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Bercakap di Dewan Rakyat, Saifuddin berkata sistem itu yang membabitkan 10 daripada 56 syarikat penerbangan beroperasi di Malaysia, akan memberikan maklumat ketibaan pengembara lebih awal sebelum mereka tiba di negara ini.

Beliau berkata, kementerian juga sedang bergerak ke arah pendigitalan sepenuhnya perkhidmatan imigresen, khususnya melalui perluasan penggunaan sistem pintu automatik atau ‘autogate’ di pintu masuk seluruh negara, bagi mengurangkan peluang manipulasi oleh pegawai penguat kuasa.

Sebanyak 125 pintu masuk negara akan dilengkapi dengan 635 sistem ‘autogate’ di Kompleks Sultan Abu Bakar dan Bangunan Sultan Iskandar di Johor; Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan 2; Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching; Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

Pelaksanaan penuh dijangka siap menjelang Mac 2028.

“Penggunaan ‘autogate’ akan mengurangkan interaksi manusia kerana semua saringan masuk dan keluar akan dilakukan secara digital sepenuhnya, tanpa memerlukan budi bicara pegawai,” katanya.

“Pintu ini akan menggunakan rekodnya biometrik, pengecaman wajah dan iris serta cap jari, semua ini dengan sendirinya akan membolehkan isu manipulasi dapat diatasi.”

Saifuddin juga berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam proses melaksanakan ujian bukti konsep bagi penggunaan kamera badan bagi petugas imigresen di pintu masuk negara, terutama KLIA, dengan perancangan untuk memperoleh 614 unit kamera bulan depan,

Katanya, inisiatif itu adalah sebahagian usaha menangani salah laku di pintu masuk utama negara, termasuk KLIA yang sering dikaitkan dengan dakwaan kewujudan sindiket bersekongkol dengan penguat kuasa bagi memudahkan kemasukan tidak sah.

“Tindakan ini telah menjejaskan reputasi agensi seperti Jabatan Imigresen dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan.

“Tiada tempat dalam KDN untuk pegawai yang tidak berintegriti. Kami tidak bertolak ansur terhadap salah laku seperti ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.