Warga Myanmar didakwa bunuh rakan senegara

Warga Myanmar didakwa bunuh rakan senegara

Maung Thuka Nyita didakwa membunuh Zar Bi Myat Khaing pada 9 Februari lalu.

mahkamah majistret port dickson
Warga Myanmar, Maung Thuka Nyita, 21, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Port Dickson hari ini atas pertuduhan membunuh rakan senegaranya, awal bulan ini. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang warga Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Majistret Port Dickson hari ini atas pertuduhan membunuh rakan senegaranya, awal bulan ini.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Maung Thuka Nyita, 21, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Mohd Farez Rahman, menurut Berita Harian.

Ini memandangkan kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Zar Bi Myat Khaing, 26, di rumah kedai, di Jalan Besar Bukit Pelandok, antara jam 9 malam 8 Februari hingga 9 pagi 9 Februari lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta, jika tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali yang mengendalikan pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan, lebih-lebih lagi tertuduh adalah warga asing.

Mahkamah menetapkan 31 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi khidmat jurubahasa Myanmar dan laporan kimia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.