
Rayuan itu ditolak sebulat suara oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan hari ini.
Hakim Ruzima Ghazali yang mengetuai panel berkata tindakan speaker seperti yang dinyatakan dalam surat bertarikh 16 Jan 2023 adalah kebal daripada semakan kehakiman berdasarkan Perkara 63(1) Perlembagaan Persekutuan.
“Mahkamah Tinggi tidak silap menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman. Rayuan ini tidak mempunyai merit,” katanya.
Bersatu turut diarahkan membayar kos.
Hakim Azizul Azmi Adnan dan Shahnaz Sulaiman turut mendengar rayuan berkenaan.
Dalam penghakiman bertulis pada 2023, Hakim Mahkamah Tinggi Amarjeet Singh berkata beliau terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang memutuskan bahawa keputusan speaker berhubung kewujudan kekosongan kerusi adalah tidak tertakluk di bawah Perkara 63(1) Perlembagaan.
Peruntukan itu menetapkan bahawa kesahihan perjalanan mesyuarat mana-mana Dewan Parlimen atau jawatankuasanya tidak boleh dipersoalkan di mana-mana mahkamah.
“Saya tidak boleh mengabaikan duluan yang mengikat dan undang-undang telah diputuskan,” katanya.
Johari sebelum ini berkata Armizan Mohd Ali, Khairul Firdaus Akbar Khan, Jonathan Yasin dan Matbali Musah tidak perlu mengosongkan kerusi Papar, Batu Sapi, Ranau dan Sipitang disandang mereka.
Keputusan itu dimaklumkan kepada parti melalui surat bertarikh 16 Jan.
Bersatu mendakwa keputusan Johari untuk tidak mengosongkan kerusi bekas ahli parti itu ‘tercemar dengan unsur tidak sah’.
Keempat-empat Ahli Parlimen itu dipilih atas tiket keahlian terus Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRU-15 ketika Bersatu masih menjadi komponen GRS.
Bagaimanapun, selepas PRU-15, GRS menggugurkan Bersatu sebagai ahli gabungan.
Naib Presiden Bersatu Ronald Kiandee, sebelum ini dilaporkan berkata parti itu telah mengeluarkan surat pemecatan kepada keempat-empat Ahli Parlimen berkenaan pada 21 Dis 2022.
Beliau berkata ini kerana mereka ‘melompat parti’ dengan duduk di blok kerajaan semasa persidangan Dewan Rakyat pada 19 Dis 2022.
Kiandee mendakwa tindakan itu mencetuskan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahawa Ahli Parlimen akan hilang kelayakan jika berpindah parti kecuali jika mereka dipecat oleh parti atau jika parti dibubarkan atau dibatalkan pendaftaran.
Bersatu mahu Mahkamah Tinggi membatalkan keputusan Johari dan mengarahkannya mengisytiharkan empat kerusi itu kosong.
Peguam Azhar Harun dan Chetan Jethwani mewakili Bersatu manakala Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly dan Peguam Persekutuan Imtiyaz Wizni Aufa Othman mewakili Peguam Negara.
Peguam Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin mewakili Ahli Parlimen tersebut sebagai responden.
Chetan berkata beliau akan mendapatkan arahan anak guam sama ada akan membawa rayuan ini ke Mahkamah Persekutuan.