
Dalam serbuan berasingan, empat lelaki lingkungan 18 hingga 28 tahun ditahan bermula 30 Julai hingga semalam.
Ketua Polis Kedah Adzli Abu Shah, berkata dalam serbuan pertama di Taman Lama Ladang Rakyat Laka Temin, Bukit Kayu Hitam, suspek berusia 18 tahun diberkas yang disyaki penjaga tempat transit dengan menerima upah RM100.
Katanya, tiga bungkusan plastik hitam berisi 55 balutan disyaki ganja seberat 57,352.85g turut dirampas di sebuah kawasan semak.
“Susulan tangkapan itu, dalam serbuan kedua pada 31 Julai, kita berjaya menemui dua bungkusan plastik hitam berisi 35 balutan ganja dengan anggaran berat 36,414g berhampiran lokasi pertama, namun tiada sebarang tangkapan dibuat.
“Maklumat diperolehi kemudiannya membawa kepada serbuan ketiga pada 9 malam hari sama dan suspek berusia 19 tahun ditahan dalam sebuah kereta dekat sebuah stesen minyak di Changlun,” katanya menurut Bernama.
Adzli berkata, serbuan keempat pada 5 petang semalam berjaya memberkas dua lagi ahli sindiket berusia 24 tahun dipercayai pengasas dan lelaki berusia 28 tahun (perunding urusan dadah) di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam.
Menurut Adzli, semua dadah dirampas boleh digunakan lebih 187,000 penagih.
“Modus operandi digunakan ialah dengan menyewa motosikal negara jiran sebelum menyeludup dadah masuk ke negara ini melalui jalan sah di sempadan Bukit Kayu Hitam.
“Semua dadah disembunyikan di ladang berkenaan sebelum diedarkan. Kita masih mengesan dua lagi ahli sindiket yang masih bebas dan sindiket ini dipercayai berpangkalan di Danok, Songkhla, Thailand sejak Mac 2025.”
Katanya, tiga suspek didapati positif metamfetamina dan mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan mereka direman antara empat dan enam hari untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) (A) ADB 1952.