
Ketua Polis Kuala Terengganu, Azli Mohd Noor, berkata pada 19 Julai lalu pensyarah berusia 54 tahun menyertai skim pelaburan berkenaan selepas dipujuk kenalan wanita baru dikenali di aplikasi TilMatch.

Beliau berkata, mangsa yang terperdaya membuat lima kali pindahan wang berjumlah RM162,170 untuk pelaburan berkenaan, namun tidak mendapat keuntungan dijanjikan.
“Mangsa menyedari ditipu setelah diminta menambah modal pelaburan sedangkan keuntungan daripada pelaburan terdahulu belum diperoleh.
“Sumber kewangan mangsa itu daripada wang simpanannya. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan.
Azli berkata, pada 27 Julai pula, mangsa berkenalan dan menjalin hubungan cinta dengan seorang wanita yang juga suspek di aplikasi sama.
Beliau berkata, mangsa memberikan alamat untuk memudahkan suspek membuat penghantaran barang ke alamatnya.
“Mangsa dihubungi oleh suspek lain yang menyamar sebagai wakil syarikat kurier. Suspek mendakwa kiriman barangan dan wang yang dihantar kepada mangsa mempunyai masalah dengan pihak kastam dan perlu membayar sebanyak RM12,500 untuk pelepasan barang dan penyelesaian kes.
“Bagaimanapun mangsa yang sudah kehabisan wang simpanan hanya mampu membayar RM10,000. Ketika mangsa ingin membuat pembayaran baki sebanyak RM2,500 ke akaun diberikan suspek, beliau mendapati transaksi disekat,” katanya.
Hasil pemeriksaan lanjut mendapati akaun berkenaan terlibat dengan aktiviti penipuan.