Drebar tak cukup tidur punca nahas bas bawa murid tadika

Drebar tak cukup tidur punca nahas bas bawa murid tadika

Lelaki berusia 44 tahun direman dua hari untuk siasatan lanjut.

Bas membawa lima guru pengiring dan 30 murid tadika terbabit kemalangan di Jalan Persiaran Universiti 1, Universiti Putra Malaysia (UPM), semalam. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Punca kemalangan membabitkan rombongan murid tadika di Jalan Persiaran Universiti 1, Universiti Putra Malaysia (UPM), semalam, akibat pemandu bas tidak cukup tidur.

Ketua Polis Serdang, Muhamad Farid Ahmad, berkata lelaki berusia 44 tahun direman dua hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, semakan rekod mendapati pemandu itu mempunyai 13 saman atas nama sendiri.

“Ujian dijalankan mendapati pemandu tidak berada bawah pengaruh dadah atau alkohol.

“Hasil siasatan punca kemalangan adalah (pemandu) tidak cukup rehat dan tidur,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, media melaporkan seorang guru dan tiga murid Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Ampang cedera selepas bas dinaiki melanggar pokok di lokasi berkenaan.

Kejadian 12.18 tengah hari ketika bas membawa lima guru pengiring dan 30 murid dalam perjalanan dari arah sebuah kilang coklat menuju ke G2G Animal Garden MAEPS, Serdang

Rakaman kamera papan pemuka yang tular di media sosial menunjukkan bas hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar sebatang pokok di laluan berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.