Ahli ekonomi gesa tingkat ‘bantuan lestari’, pacu pendapatan rakyat

Ahli ekonomi gesa tingkat ‘bantuan lestari’, pacu pendapatan rakyat

Madeline Berma berkata bantuan merangkumi usaha meningkatkan peluang ekonomi isi rumah dan subsidi pendidikan harus diperhebat demi manfaat masa depan.

Usaha meningkatkan pendapatan rakyat antara fokus perlu diberikan kerajaan selain penyaluran bantuan sosial untuk menyerap cabaran kos sara hidup. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bantuan sosial perlu diselarikan dengan usaha meningkatkan pendapatan melalui pekerjaan dan aktiviti berasaskan perniagaan bagi menangani cabaran seperti kos sara hidup, kata ahli ekonomi.

Madeline Berma menyifatkan pendekatan itu sebagai ‘bantuan lestari’ yang wajar dipertingkatkan kerajaan, merangkumi produktiviti, pertumbuhan ekonomi dan subsidi bersifat masa depan seperti dalam sektor pendidikan dan kesihatan.

madeline
Madeline Berma.

Menurut felo Institut Masa Depan Malaysia (Masa) itu, bantuan tunai kepada golongan layak diakui memberi kelegaan sementara, namun kesannya bersifat jangka pendek dan berisiko disalah guna untuk pembelian ‘barangan dugaan’ seperti alkohol.

“Apa yang lebih diperlukan ialah bantuan lestari yang dapat meningkatkan peluang ekonomi isi rumah, seperti mempercepat pertumbuhan ekonomi, menggalakkan pelaburan asing dan domestik bagi mewujudkan pekerjaan serta menawarkan insentif bagi mobiliti menegak dan mendatar – termasuk kursus kemahiran, latihan semula dan peningkatan kemahiran.

“Selain itu, subsidi pendidikan dan kesihatan juga penting,” katanya kepada FMT sambil menambah pelaksanannya boleh ditampung dengan memanfaatkan tambahan hasil menerusi peluasan skop cukai jualan dan perkhidmatan (SST) selain penjimatan subsidi bersasar RON95.

Peluasan SST sejak 1 Julai lalu dijangka menjana tambahan hasil RM5 bilion tahun ini dan RM10 bilion menjelang 2026. Penyesuaian subsidi RON95 pula menyaksikan 95% pengguna membayar RM1.99 seliter selepas September.

Madeline turut mencadangkan dasar mewajibkan sektor awam dan swasta melaksanakan program peningkatan kemahiran bagi peningkatan produktiviti dan kadar gaji.

Beliau juga mencadangkan pengkelasan kumpulan B40, M40 dan T20 diperhalusi supaya lebih mencerminkan realiti ekonomi isi rumah – dengan menggunakan pendekatan berdasarkan perbelanjaan, sebagaimana dilakukan Bank Dunia, berbanding hanya pendapatan.

“Pengkelasan 40:40:20 ini tidak menggambarkan corak perbelanjaan sebenar isi rumah.

“Kerajaan juga dicadangkan menggunakan Indeks Kemiskinan Multidimensi sebagai penanda aras untuk mengenal pasti golongan miskin yang memerlukan bantuan – bagi mengelakkan ketirisan dan kesilapan dalam pemilihan penerima,” katanya.

Barjoyai Bardai
Barjoyai Bardai.

Barjoyai Bardai dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST) pula berkata, usaha meningkatkan pendapatan rakyat memerlukan dasar jangka panjang konsisten serta tidak bergantung kepada belanjawan tahunan.

Katanya, ia juga memerlukan dana besar dan iltizam berterusan kerajaan – bukan sekadar pelan lima tahun mengikut kitaran pilihan raya.

Beliau mencadangkan kerajaan meningkatkan insentif latihan berkaitan peningkatan produktiviti seperti kecerdasan buatan (AI), yang menurutnya masih rendah berbanding negara seperti Singapura.

“Kita boleh wujudkan satu mekanisme untuk menghantar semua pekerja mengikuti program celik AI, agar teknologi ini dapat dimanfaatkan dalam meningkatkan produktiviti,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.