
Beliau berkata, kira-kira 60 saksi dipanggil bagi membantu siasatan.
“Siasatan dah siap, saya ingat paling lewat minggu depan pihak polis akan serahkan (kertas siasatan) kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada pemberita di sini.
Beliau ditemui selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Pelatih Kursus Asas Leftenan Muda Maritim Siri 12/2024 dan Pelatih Kursus Asas Laskar Kelas II Maritim Siri 18/2024 di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah.
Zara Qairina dipercayai terjatuh dari tingkat tiga dan dijumpai tidak sedarkan diri di dalam longkang asrama sekolahnya di Papar, Sabah pada 16 Julai lalu.
Pelajar itu disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu keesokannya.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Jauteh Dikun sebelum ini dilaporkan berkata, siasatan menjurus kepada dua elemen utama, iaitu punca kematian dan keadaan persekitaran mangsa.
Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata, pihaknya komited mempersiapkan kelengkapan logistik Agensi Penguatkuasaan Maritim (Maritim Malaysia) bagi menghadapi ancaman di perairan, antaranya meneruskan projek pembinaan dua lagi kapal peronda luar pesisir (OPV).
Maritim Malaysia juga dalam proses membawa pulang kapal Ex-United States Coast Guard Cutter (Ex-USCGC) Steadfast dari Amerika Syarikat yang dijangka tiba November ini.
“Dengan kelengkapan ini, saya percaya boleh menaikkan moral pasukan, selain meningkatkan keberkesanan fungsi kawalan, rondaan dan pemeriksaan.”