
Perdana Menteri Anwar Ibrahim, berkata pendekatan memberikan kebebasan kepada penduduk kampung menentukan sendiri projek pilihan mereka itu selaras dengan aspirasi kerajaan Madani yang menekankan prinsip musyawarah dan pemerkasaan rakyat.
“Saya sudah sediakan peruntukan, setiap kampung Felda diberikan RM100,000 untuk mereka tentukan projek apa yang mereka nak lakukan.
“Ini bukan pengurusan (Felda) yang tentukan projek apa nak buat. Nak beli apa, traktor? Nak buat kolam ikan? Nak beli dron? Saudara sendiri putuskan apa yang nak beli, saya sediakan RM100,000 bagi setiap kampung,” katanya pada majlis perasmian Karnival Mega 3 Dimensi 2025 (MK3D 2025) di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec).
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Ewon Benedick, Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar, dan Pengerusi Felda Ahmad Shabery Cheek.
Anwar berkata, pelbagai usaha dan janji dilaksanakan sepanjang tiga tahun kerajaan memerintah, termasuk menjaga kebajikan peneroka menerusi penubuhan pusat dialisis di setiap kawasan Felda.
Dalam konteks pendidikan pula, katanya lebih 1,000 sekolah angkat diwujudkan dengan kerjasama syarikat korporat dan badan berkaitan kerajaan (GLC), termasuk sekolah di kawasan Felda yang menerima manfaat bersama.
“Kalau orang tanya…kamu ada kuasa, masa inilah buat kerja, masa inilah berikan sebaiknya kepada rakyat. Jangan masa ada kuasa, sakau sana sini (untuk) kayakan anak menantu. Kemudian bila hilang kuasa (kamu minta) Anwar turun.
“Saya belajar satu perkara. Kalau nak buat, masa kita ada kuasa. Jangan berleter mengeluh masa kita dah ditendang rakyat,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Zahid yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah dan kementerian berkaitan yang terlibat secara langsung membangunkan komuniti Felda.
“Di bawah kerajaan Madani, semua kementerian, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan, semuanya mesti ambil tanggungjawab mengangkat kehidupan dan kemudahan yang ada di Felda,” katanya.