Amanah parti progresif, bukan mahu ganti PAS

Amanah parti progresif, bukan mahu ganti PAS

Pemimpin Amanah berkata penubuhannya bertujuan bawa politik baharu walaupun dasarnya adalah Islam.

amanah
Amanah ditubuhkan secara rasmi pada 16 Sept 2015 oleh sekumpulan bekas pemimpin PAS diketuai Mohamad sebagai presiden. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pemimpin Amanah menepis pandangan konon penubuhan parti itu pada 2015 untuk menggantikan PAS.

Setiausaha Agung, Muhammad Faiz Fadzil, menjelaskan penubuhan Amanah bertujuan membawa politik baharu walaupun dasarnya adalah Islam, parti itu mengamalkan pendekatan inklusif dan progresif kepada semua rakyat.

Muhammad Faiz Fadzil
Muhammad Faiz Fadzil.

“Pandangan penganalisis itu kurang tepat. Kita tak pernah terfikir nak ganti PAS dengan tertubuhnya Amanah.

“Kita tubuh Amanah sebab nak bawa politik baharu dalam negara. Walaupun kita menyebut dasar kita Islam, tetapi kita lebih inklusif, dalam konteks perlembagaan dan struktur masyarakat di Malaysia. Kita adalah parti progresif,” katanya kepada FMT.

Pada 27 Julai lalu, penganalisis, Awang Azman Pawi, berkata Amanah wajar memperkukuh matlamat asal menjadi alternatif kepada PAS berbanding ‘mengejar’ kerusi pada PRN Sabah seperti disuarakan Presiden Mohamad Sabu, baru-baru ini.

Penganalisis dari Universiti Malaya (UM) itu menyarankan parti komponen Pakatan Harapan tersebut memberi laluan kepada parti tempatan yang bakal menjalin kerjasama dengannya di Sabah.

Mengulas lanjut, Faiz berkata keputusan Amanah bertanding pada PRN Sabah bagi mengukur kekuatan dan memperluas pengaruh parti ke seluruh negara.

Hasbie Muda.
Mohd Hasbie Muda.

Sementara itu, Ketua Pemuda, Mohd Hasbie Muda, berkata Amanah adalah parti kebangsaan dan bukan kenegerian.

“Disebabkan itu, (Amanah) perlu bertanding dan aktif di semua negeri termasuk Sabah.

“Tujuan Amanah wujud adalah untuk memperjuangkan prinsip rahmah atau Islam ‘rahmatan lil alamin’ dalam pentadbiran negara. Bukan khusus untuk menggantikan mana-mana parti tertentu,” katanya.

Amanah ditubuhkan secara rasmi pada 16 Sept 2015 oleh sekumpulan bekas pemimpin PAS diketuai Mohamad sebagai presiden.

Ia kemudian bergabung bersama DAP dan PKR dengan menubuhkan PH.

Untuk rekod, Amanah kini mempunyai lapan kerusi Parlimen dan 11 DUN iaitu lima di Selangor, serta masing-masing satu di Perak, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Kelantan dan Pulau Pinang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.