Pelajar pukul rakan sekelas bakal kena tindakan tegas, kata Fadhlina

Pelajar pukul rakan sekelas bakal kena tindakan tegas, kata Fadhlina

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata tindakan akan diambil berdasarkan hasil siasatan polis.

Fadhlina Sidek
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata kementerian tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku membabitkan pelajar sekolah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengambil tindakan tegas terhadap sekumpulan pelajar yang ditahan polis kerana disyaki memukul rakan sekelas di sebuah pusat beli-belah di Kajang.

Menterinya Fadhlina Sidek berkata KPM tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku dan akan mengambil tindakan berdasarkan kepada hasil siasatan polis terhadap kes itu.

“Saya juga minta sekolah terlibat dan pejabat pendidikan daerah untuk melaksanakan program intervensi bagi memastikan aspek keselamatan dan kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga sekolah,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, polis menahan empat pelajar lelaki berusia 13 tahun bagi membantu siasatan rakan sekelas mereka dipukul di sebuah pusat beli-belah di Kajang.

Ketua Polis Kajang, Naazron Abdul Yusof, berkata pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang juga pelajar Tingkatan Satu sebuah sekolah menengah di daerah itu pada 12.57 tengah hari semalam.

Katanya, empat pelajar itu ditahan di sekitar Kajang pada 8.35 malam semalam dan direman dua hari hingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955.

Terdahulu, tular satu video memaparkan mangsa dipukul dua pelajar, manakala dua lagi rakan (sekelas) mereka merakam kejadian itu menggunakan telefon bimbit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.