Malaysia mahu tarif 0% ke atas komoditi utama ke AS

Malaysia mahu tarif 0% ke atas komoditi utama ke AS

Putrajaya sedang melobi Washington kecualikan komoditi seperti koko, getah, dan minyak sawit daripada tarif 19% dikenakan ke atas eksport negara.

coco coca chocolate
Malaysia berharap produk koko dan getah dieksport ke AS dikecualikan tarif 19%. (Gambar Envato Elements)
KUALA LUMPUR:
Malaysia akan memperjuang kadar tarif 0% bagi komoditi seperti koko, getah, dan minyak sawit yang dieksport ke Amerika Syarikat (AS), yang kini dikenakan duti 19%, kata Menteri Pelaburan Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Aziz.

Tengku Zafrul berkata, walaupun sektor semikonduktor dan farmaseutikal Malaysia terus menikmati kadar tarif 0%, tarif 19% itu akan dikenakan ke atas barangan lain mulai 8 Ogos, namun perbincangan masih berjalan untuk mengurangkan kadar berkenaan.

“Kami akan terus berhubung dengan AS dan kemuka senarai produk yang kita percaya sepatutnya dikenakan tarif 0%,” katanya pada sidang media.

“Produk ini kebanyakannya hasil pertanian yang tidak dapat dihasilkan AS, seperti koko dan getah. Kita telah mengemukakan senarai itu,” katanya sambil menambah kenyataan bersama Malaysia-AS mengenai tarif tersebut dijangka dikeluarkan hujung minggu ini.

Awal hari ini, AS umum mengurangkan tarif ke atas eksport Malaysia kepada 19%, selepas sebelum ini mengenakan tarif 25% ke atas Malaysia berkuat kuasa 1 Ogos, satu kadar digambarkan presiden AS Donald Trump sebagai ‘jauh lebih rendah’ daripada apa yang diperlukan bagi menghapuskan defisit perdagangan dengan Malaysia.

Kadar berkenaan juga lebih tinggi daripada 24% yang pada asalnya dikenakan ke atas beberapa eksport Malaysia ke AS, yang diletakkan dalam tempoh penangguhan 90 hari yang berakhir semalam.

Ditanya sama ada wujud mekanisme semakan tarif secara rasmi dalam perjanjian itu, Tengku Zafrul berkata, beliau tidak pasti sama ada perkara tersebut dibincangkan semasa rundingan.

Beliau juga berkata, Malaysia menetapkan pendirian jelas semasa rundingan mengenai dasar cukai domestik, selain mendedahkan perunding AS mahu Malaysia memansuhkan duti eksais ke atas kenderaan, tembakau, dan alkohol.

“Sektor automotif memang satu industri yang penting, kerana kita mempunyai sekitar 700,000 pekerja, kita ada kereta nasional.

“Jadi, kebimbangan mereka ialah tentang duti import, penghapusan permit import (AP), serta duti eksais kita. Untuk mereka ia tidak adil,” katanya.

Mengenai sama ada perkembangan diplomatik baru-baru ini menyumbang pengurangan kadar tarif, Tengku Zafrul berkata perjanjian gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand berkemungkinan memainkan peranan.

Pada Isnin, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan Kemboja dan Thailand bersetuju mengadakan gencatan senjata susulan pertempuran berdarah di sempadan.

Perjanjian itu dicapai susulan pertemuan di Putrajaya dihadiri Anwar, Perdana Menteri Kemboja Hun Manet, dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai.

“Saya tidak tahu sejauh mana, tetapi ia (gencatan senjata) memang membantu,” kata Tengku Zafrul.

“Anwar dan Trump ada membincangkannya (semasa panggilan telefon mereka semalam) dan saya rasa ia (gencatan senjata) memberikan tanggapan baik.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.