
Presiden Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (Belia Mahir) Mohammad Rizan Hassan menyambut baik usaha kerajaan menyemak dasar persaraan selaras realiti masyarakat menua dan keperluan ekonomi jangka panjang.
Namun, beliau mengingatkan dalam proses penyesuaian dasar dibentangkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) itu supaya tidak menafikan kebajikan dan peluang belia menampung keperluan tenaga kerja.
“Kami menyokong dasar yang memperkukuh ekonomi dan mengiktiraf sumbangan pekerja senior, tetapi golongan muda tidak seharusnya terpinggir daripada laluan kerjaya dan peluang strategik dalam pasaran buruh,” katanya kepada FMT.
Menurutnya, mengekalkan tenaga kerja berpengalaman dapat membantu mengurangkan masalah kekurangan buruh, selain memberi ruang kepada pemindahan ilmu melalui pendekatan kerjasama antara generasi (youth-adult partnership).
Katanya, sumbangan fiskal daripada warga emas masih bekerja juga dilihat mampu mengurangkan beban pencen dan menambah baik kestabilan kewangan negara.
Namun, beliau bimbang menaikkan umur persaraan secara menyeluruh boleh mengehadkan peluang kenaikan pangkat dan pengisian jawatan strategik bagi golongan muda dalam sektor awam serta swasta yang statik dari segi struktur organisasi.
“Majikan juga mungkin lebih cenderung memilih pekerja berpengalaman, sekali gus mewujudkan persaingan tidak seimbang kepada graduan baharu.”
Tegasnya bukan semua sektor sesuai untuk pekerja berusia lanjut, terutama yang memerlukan tenaga fizikal seperti bidang pembuatan, logistik dan pembinaan.
Justeru, beliau menggesa kerajaan mempertimbangkan tiga pendekatan dalam meneliti semula dasar baharu itu, antaranya pendekatan fleksibel bagi penggajian semula selepas umur 60 tahun secara sukarela, bukannya secara automatik.
“Pelaksanaan perancangan penggantian tenaga kerja (succession planning) untuk memastikan belia tidak terpinggir dalam pengisian jawatan penting dan dasar pemindahan pengetahuan serta bimbingan (mentoring) dijadikan syarat bagi lanjutan perkhidmatan.
“Pembangunan negara memerlukan keseimbangan antara kebijaksanaan warga senior dan tenaga segar belia, setiap dasar mesti berpaksikan prinsip keadilan antara generasi.”
Semalam, ketika membentangkan RMK13, Anwar dilaporkan berkata kerajaan akan meneliti had umur persaraan wajib 60 tahun untuk disesuaikan dengan peralihan negara menjadi negara tua.
Menurut laporan Jabatan Perangkaan pada 2022, Malaysia dijangka menjadi negara tua pada 2030 apabila 15.3% penduduk berusia lebih 60 tahun.
Di Malaysia, persaraan wajib bagi penjawat awam ketika ini ditetapkan pada usia 60 tahun. Ia juga usia persaraan minimum bagi pekerja swasta di bawah Akta Umur Persaraan Minimum 2012.