
Ketua Polis Jempol, Norhisham Mustapar, berkata permohonan reman terhadap suspek berusia 36 tahun itu dibuat di hadapan Majistret Norshazwani Ishak di Mahkamah Majistret Bahau hari ini.
“Suspek yang ditahan membabitkan kes penemuan mayat kanak-kanak yang ditanam dekat Rompin, Isnin lalu, dibawa ke Mahkamah Majistret untuk permohonan reman pagi ini.
“Mahkamah membenarkan suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga Khamis depan. Ia bagi membantu siasatan kes berkenaan,” katanya ketika dihubungi, menurut Berita Harian.
Suspek semalam diserahkan ke IPD Jempol selepas proses tahanan reman di Johor selesai di mana dia direman polis negeri itu sejak Jumaat minggu lalu.
Polis Johor menjalankan siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, Seksyen 323 Kanun Keseksaan, 18 Akta Keganasan Rumah Tangga dan Orang Hilang.
Manakala kes bunuh disiasat polis Negeri Sembilan.
Isnin lalu media melaporkan mayat kanak-kanak lelaki enam tahun dilaporkan hilang di kawasan Taman Bukit Indah, Iskandar Puteri, Johor, pada 24 Julai lalu, ditemui ditanam di kawasan Rompin, Jempol.
Mangsa disyaki ditanam bapanya dekat Rompin dan disahkan meninggal dunia akibat dibunuh dengan tekanan pada leher.
Hasil bedah siasat mendapati mangsa maut akibat jerutan menggunakan pengikat kabel.