RMK13: Kerajaan peruntuk RM611 bilion lonjak reformasi, memartabat negara

RMK13: Kerajaan peruntuk RM611 bilion lonjak reformasi, memartabat negara

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata agihan strategik dibuat untuk pacu pembangunan menyeluruh dan berimpak tinggi yang berpaksikan rakyat.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim membentangkan Rancangan Malaysia ke-13 yang bertemakan ‘Melakar Semula Pembangunan Demi Mengangkat Martabat Rakyat’.
KUALA LUMPUR:
Sebanyak RM611 bilion diperuntukkan secara keseluruhan untuk menjayakan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) dengan RM430 bilion membabitkan dana kerajaan, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Sementara itu, RM120 bilion dibiayai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) manakala RM61 bilion menerusi kaedah perkongsian awam swasta (PPP).

Dalam membentangkan RMK13 yang bertemakan ‘Melakar Semula Pembangunan’, Anwar berkata RM227 bilion diperuntuk kepada sektor ekonomi sebagai tunjang utama pertumbuhan negara.

Anwar yang juga menteri kewangan berkata sektor sosial turut diutamakan dengan peruntukan RM133 bilion yang meliputi RM67 bilion bagi pendidikan manakala RM40 bilion untuk kesihatan.

“Sektor keselamatan pula diperuntuk RM51 bilion manakala sektor pentadbiran akan menerima RM17 bilion.

“Agihan strategik ini mencerminkan komitmen Kerajaan untuk memacu pembangunan negara secara menyeluruh dan berimpak tinggi,” katanya di Dewan Rakyat.

Anwar berkata ikhtiar itu diyakini bukan sekadar memiliki pencapaian material yang hebat dan mampu mengeluarkan produk bernilai tinggi menjelang 2030 tetapi mempunyai rakyat berjiwa besar, hidup bersatu padu, saling menghormati kepelbagaian budaya dan memiliki jati diri yang utuh.

“RMK13 harus menjadi milik semua – setiap individu, masyarakat, sektor swasta dan kerajaan berganding bahu dan teguh bergerak di landasan pembangunan yang dihasratkan demi mengangkat darjat, harkat dan martabat rakyat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.