
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM40 bilion untuk sektor kesihatan di bawah RMK13. Selain membina dan menaik taraf kemudahan kesihatan di beberapa negeri, rangka kerja untuk pembangunan profesional akan dibangunkan bagi memastikan bakat dalam sektor kesihatan dikekalkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Galen Centre for Health and Social Policy, Azrul Khalib, berpandangan RM40 bilion itu harus membiayai pelaburan jangka panjang dalam prasarana kesihatan, pemodenan peralatan perubatan, dan penambahbaikan persekitaran tempat kerja.
Beliau juga berkata pembangunan tenaga kerja harus diteruskan dengan menawarkan biasiswa atau geran kepada pelajar, kerana tidak ramai pelajar memilih mata pelajaran STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik).
“Kita sedang menuju ke arah kekurangan (tenaga kerja) yang teruk dan mungkin terpaksa mengambil langkah berani dengan membawa masuk pekerja kesihatan asing dari negara seperti Indonesia,” katanya.
“Kita juga perlu melabur lebih banyak dalam program celik kesihatan yang memberi maklumat dan memperkasa orang ramai untuk menjaga kesihatan. Gaya hidup yang tidak aktif, diet yang buruk, dan kekurangan rawatan obesiti yang berkesan perlu ditangani.”

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Kalwinder Singh Khaira, pula berkata isu kekurangan pekerja perlu diutamakan kerana ia terus menjadi salah satu masalah terbesar yang dihadapi sistem kesihatan awam.
Walaupun rancangan kerajaan menaik taraf lebih 1,700 klinik kesihatan awam yang usang dan membina kemudahan baharu tepat pada masa, ia perlu disertakan dengan garis masa yang jelas untuk memastikan kebertanggungjawaban, serta rancangan meningkatkan kapasiti sumber manusia yang sepadan.
“Kami mengalu-alukan rancangan untuk suatu rangka kerja pembangunan kebangsaan dalam sektor kesihatan bagi menangani keperluan sumber manusia. Kami berharap ini akan merangkumi semua profesion kesihatan dalam ekosistem,” menurut kenyataan.
Sementara itu, Presiden Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia, Dr G Shanmuganathan, berkata peruntukan RM40 bilion harus dilihat dalam konteks pelaburan yang rendah dalam kesihatan, di mana perbelanjaan kesihatan negara, pada hanya lebih 2% daripada produk domestik kasar, ketinggalan berbanding penanda aras serantau.

Shanmuganathan berkata tumpuan pada menaik taraf prasarana, pendigitalan, dan kolaborasi awam-swasta dalam RMK13 adalah tepat pada masa, dengan amaran tentang projek digital berpusat dan secara atas-ke-bawah (top-down) yang mengecualikan penyedia perkhidmatan barisan hadapan seperti pengamal perubatan am.
“Jika RM40 bilion ini benar-benar untuk mengubah sistem kesihatan… ia mesti membina semula kepercayaan, memperkasakan penyedia perkhidmatan, dan meningkatkan penjagaan pesakit — terutama di peringkat komuniti di mana kebanyakan penjagaan bermula.
“Tanpa interoperabiliti (kesalinghubungan) dengan klinik dan farmasi swasta, usaha pendigitalan akan gagal mencapai potensi penuh,” katanya.
Shanmuganathan juga berkata peruntukan RM40 bilion ini perlu disertai dengan reformasi struktur, ketelusan, dan hasil yang boleh diukur dengan jelas.
“Persoalan sebenar bukan sahaja saiz bajet, tetapi sejauh mana ia akan digunakan dengan berkesan dan saksama. Jika ia ditadbir dengan buruk, walaupun RM100 bilion tidak akan dapat menyelesaikan isu-isu sistemik,” katanya.