RMK, belanjawan tahunan perlu penyelarasan lebih baik, kata pakar

RMK, belanjawan tahunan perlu penyelarasan lebih baik, kata pakar

Noor Azlan Ghazali kata Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi perlu pastikan RMK serta belanjawan selaras sepanjang lima tahun akan datang.

Ahli ekonomi Noor Azlan Ghazali mahu melihat bagaimana kerangka Ekonomi Madani dilancarkan dua tahun lalu diterapkan dalam RMK13 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ahli ekonomi, Noor Azlan Ghazali, berkata rancangan pembangunan lima tahun negara dan belanjawan tahunan perlu diselaraskan lebih baik agar pelaksanaan Rancangan Malaysia berhasil, di kala negara bersiap sedia untuk pembentangan pelan ke-13 hari ini.

Bekas pengarah eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi itu berkata, Rancangan Malaysia untuk lima tahun akan datang (RMK13) seharusnya menjadi landasan utama, manakala belanjawan yang bakal menyusul mesti dilandaskan atas menjayakan pelan itu, disesuaikan dengan keperluan tahunan semasa.

“Dalam pemerhatian saya, penyelarasan antara rancangan pembangunan (Rancangan Malaysia lima tahun) dan rancangan tahunan (belanjawan tahunan) agak lemah. Sering terpisah,” katanya di Facebook.

“Rancangan Malaysia muncul lima tahun sekali, dengan Kajian Separuh Penggal di tengahnya. Belanjawan datang setiap tahun. Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi mesti pastikan keduanya diselaraskan sepanjang lima tahun yang akan datang.”

Dalam pada itu, Azlan ingin melihat bagaimana kerangka Ekonomi Madani yang dilancarkan dua tahun lalu diterapkan dalam MRK13.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dijadual membentangkan RMK13 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, penyediaannya melibatkan sesi libat urus meluas bersama pelbagai pihak berkepentingan merentasi sektor, latar belakang dan wilayah, termasuk kerajaan negeri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.