Penempatan calon guru Sabah, Sarawak, Orang Asli ambil kira lokaliti

Penempatan calon guru Sabah, Sarawak, Orang Asli ambil kira lokaliti

Menteri pendidikan berkata ini bagi membolehkan guru berkhidmat dekat kampung halaman dan sokong pembangunan pendidikan luar bandar.

sekolah rendah
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata kementeriannya komited memberi keutamaan terhadap hak murid di sekolah untuk mendapatkan pendidikan terbaik melalui penempatan guru baharu mencukupi di seluruh negara. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Penempatan mengikut lokaliti khususnya bagi calon guru dari Sabah dan Sarawak serta Orang Asli antara keutamaan dalam pengurusan penempatan guru baharu, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Beliau berkata, ini bagi membolehkan mereka berkhidmat berhampiran kampung halaman dan menyokong pembangunan pendidikan luar bandar.

Bagaimanapun, menurutnya, keputusan akhir penempatan bergantung sepenuhnya kepada kekosongan jawatan sebenar serta keperluan opsyen semasa mengikut keutamaan pendidikan.

“Meskipun calon boleh menyatakan keutamaan lokasi dan kesediaan berkhidmat, penempatan tetap berdasarkan keperluan opsyen dan kekosongan jawatan dan inilah keutamaan pendidikan bagi memartabatkan aspirasi pendidikan itu sendiri.

“Kementerian Pendidikan komited memberi keutamaan terhadap hak murid di sekolah untuk mendapatkan pendidikan terbaik melalui penempatan guru baharu yang mencukupi di seluruh negara.”

Beliau menjawab soalan Kalam Salan (PN-Sabak Bernam) berhubung perkara yang diambil kira dalam proses penempatan guru baharu lepasan institut pendidikan guru (IPGM) pada waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat.

Fadhlina berkata, laluan khusus untuk anak Sabah dan Sarawak serta Orang Asli turut diberi keutamaan di peringkat IPGM untuk memastikan keperluan guru di lokaliti berkenaan dipenuhi di peringkat penempatan sekolah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.