Hampir 95% perkara dirancang kekal dalam RMK13, dakwa Rafizi

Hampir 95% perkara dirancang kekal dalam RMK13, dakwa Rafizi

Bekas menteri berkata semua reformasi besar termasuk perubahan sistem pendidikan, penstrukturan ekonomi serta tumpuan kepada agenda baharu dikekalkan.

Rafizi Ramli
Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli berkata beliau akan mengambil bahagian dalam perbahasan di Dewan Rakyat minggu depan.
PETALING JAYA:
Rafizi Ramli mendakwa hampir 95% daripada perkara dirangka sepanjang proses penyediaan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) kekal dalam dokumen itu walaupun sudah meletak jawatan menteri ekonomi.

Katanya, menerusi pembentangan Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat hari ini, semua reformasi besar termasuk perubahan sistem pendidikan, penstrukturan ekonomi serta tumpuan kepada agenda baharu seperti negara menua dan pembangunan sektor ketiga dikekalkan dalam RMK13.

Menurutnya, antara lain dikekalkan adalah National Energy Transition Roadmap (NETR), Pelan KL20, Johor-Singapore Special Economic Zone (JSSEZ), Made by Malaysian, aktiviti pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) dan pembangunan Zon Pelaburan Pelancongan Khas (STIZ).

“Begitu juga beberapa hasil kerja kami di Kementerian Ekonomi yang banyak tentangan sebelum ini, termasuklah pelaksanaan Akta Iltizam dan akta mengharamkan amalan Ali Baba, semuanya dikekalkan,” katanya dalam kenyataan.

Pada 27 Jun lalu Jemaah Menteri bersetuju Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan, mengambil alih tugas dan fungsi portfolio ekonomi berkuat kuasa serta-merta apabila jawatan itu kosong susulan peletakan jawatan Rafizi selepas kalah pemilihan timbalan presiden PKR.

Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar, dalam kenyataan berkata tugas utama perlu dibuat Amir adalah mengolah dan merombak semula intipati naskhah RMK13 yang dibentangkan di Parlimen hari ini, dengan mengambil kira maklumat tambahan dikemukakan kementerian serta pandangan dan ulasan Jemaah Menteri.

Sementara itu, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata beliau perlu mengambil masa meneliti kandungan RMK13 dan akan mengambil bahagian dalam perbahasan di Dewan Rakyat minggu depan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua warga Kementerian Ekonomi yang bertungkus-lumus menyediakan dokumen itu selama 20 bulan.

“Tugas mereka lebih mencabar akibat ura-ura rombakan yang perlu dibuat di saat akhir.

“Akhirnya ura-ura itu hanya reaksi politik sahaja, bermakna kepimpinan Kementerian Ekonomi berjaya mempertahankan supaya perancangan jangka masa panjang negara jangan dicampur aduk dengan hiruk-pikuk politik,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.