
Tertuduh, Muhammad Azlee Ruslan, 42, mengaku salah ke atas semua pertuduhan di hadapan Hakim Surita Budin.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 15 tahun, antara 10 hingga 18 Julai lalu.
Justeru, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara minimum 20 tahun dan sebatan.
Menurut Sinar Harian, bagi pertuduhan keempat, tertuduh didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap mangsa sama dengan menyebabkan kanak-kanak itu memerhati video lucah, pada 2 Julai lalu.
Kesalahan itu dilakukan di pondok sampah sebuah sekolah rendah di Seremban dan di sebuah pasar raya.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 15(e) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya.
Tertuduh tidak diwakili peguam memohon hukuman penjara minimum kerana ibunya uzur, selain berjanji tidak akan mengulanginya lagi.
Timbalan Pendakwa Raya Norazihah Asmuni memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal memandangkan jenayah dilakukan melibatkan pelajar sekolah.
Hakim turut mengarahkan hukuman penjara tertuduh bermula dari tarikh tangkapan pada 23 Julai dan dikehendaki menjalani kaunseling pemulihan serta pengawasan polis selama setahun selepas selesai menjalani pemenjaraan.