Peniaga didenda RM3,000 jual ayam masak kicap tercemar

Peniaga didenda RM3,000 jual ayam masak kicap tercemar

Razli Abdul Razak mengaku bersalah menjual makanan yang tercemar dengan bakteria berbahaya Staphylococcus aureus.

gavel
Mahkamah Majistret Marang juga mengarahkan Razli Abdul Razak dihukum penjara tiga bulan jika gagal membayar denda tersebut. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Seorang peniaga makanan didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Marang selepas mengaku bersalah menjual ayam masak kicap yang tercemar dengan bakteria berbahaya pada Februari lalu.

Majistret Noryusriza Zulkifli menjatuhkan hukuman itu ke atas Razli Abdul Razak, 44, yang mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya, lapor Sinar Harian.

Noryusriza juga mengarahkan tertuduh dihukum penjara tiga bulan jika gagal bayar denda.

Mengikut pertuduhan, Razli didakwa menjual ayam masak kicap yang mengandungi bakteria Staphylococcus aureus pada kadar 9.5 x 10⁵ CFU/g kepada pegawai penguat kuasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah premis di Kampung Baru Rhu Muda, Marang, kira-kira 11.40 pagi, 16 Feb lalu.

Pertuduhan dibuat di bawah Peraturan 39(2) yang dibaca bersama Peraturan 397(1), Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 397(2) peraturan yang sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa KKM, Ku Mazuki Ku Ismail dan Syed Shariff Salleh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.