
Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata seperti MCA, MIC tidak mempunyai peranan atau kehadiran dalam kerajaan perpaduan, walaupun secara simbolik.

Lau memberi amaran bahawa keluar daripada BN atau bergerak sendiri akan menjadi langkah berisiko tinggi di pihak MIC.
“Keluar hari ini tidak bermakna anda akan memenangi sokongan esok. Anda perlu berjuang selama beberapa tahun jika anda bernasib baik, malah berdekad-dekad, sebelum mendapat semula sokongan,” katanya kepada FMT.
Beliau merujuk kepada tahun-tahun awal PKR pada penghujung 1990-an, apabila ia tidak mempunyai blok pengundi yang jelas dan bergelut untuk meraih sokongan sebagai parti multietnik.
“Tetapi mereka bertahan dan bergelut. Mereka agak bertuah kerana menjelang 2008, kurang 10 tahun kemudian, mereka menembusi pasaran politik. Tetapi ini (hasilnya) tidak dijamin,” katanya.
Lau juga memetik pengalaman parti-parti yang meninggalkan gabungan mereka untuk mencari haluan mereka sendiri, tetapi gagal.
“Gerakan cuba berdikari selama satu atau dua tahun, tetapi merasakan ia tidak boleh bertahan seperti itu. Jadi mereka bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).”
Lau berkata MIC masih belum menunjukkan kekuatan diperlukan untuk mengharungi perjuangan.
“Ya, pemimpin akar umbi kadang-kadang akan menyebut (untuk keluar), tetapi saya tidak fikir ia akan menjadi kenyataan,” tambahnya.
MIC, yang hanya memegang satu kerusi parlimen di Tapah, sekali lagi menyuarakan rasa tidak puas hati baru-baru ini kerana diketepikan dalam kerajaan perpaduan, dengan mengatakan ia berasa seperti tidak diperlukan.
Timbalan Presidennya M Saravanan berkata MIC beberapa kali ‘ditipu’, termasuk apabila ada persetujuan parti itu akan diberi jawatan dalam Jemaah Menteri kerajaan perpaduan.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara, bagaimanapun, mengaitkan rasa terpinggir MIC kepada dinamik politik semasa dengan Umno mengutamakan ahli parlimennya sendiri.
Walaupun kekecewaan MIC boleh difahami, beliau berkata pertaruhan terbaik adalah parti itu kekal dalam BN dan berharap Umno boleh memenangi lebih banyak kerusi pada PRU akan datang.
“Dalam era BN, mereka (MIC) memperolehi jawatan Kabinet yang baik kerana Umno adalah parti dominan ketika itu.
“Umno tidak dominan sekarang,” katanya.