
Ketua Polis Kampar Mohamad Nazri Daud berkata pihaknya mengeluarkan saman ke atas lori jenis kabin tersebut selepas video tular di media sosial.
“Dalam rakaman itu, jentera bomba dilihat berusaha untuk memotong lori tersebut tetapi kenderaan itu seolah-olah tidak memberi laluan, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat terhadap keselamatan dan keutamaan kenderaan penyelamat ketika menjalankan tugas kecemasan.
“Susulan daripada penularan video tersebut, IPD Kampar mengambil tindakan segera terhadap pemandu lori berkenaan bagi membantu siasatan,” menurut kenyataan.
Siasatan awal mendapati pemandu lori berkenaan tidak menyedari kehadiran jentera bomba tersebut disebabkan oleh bunyi enjin lori yang kuat, dan tingkap tertutup sepenuhnya menyukarkan dia mendengar siren jentera tersebut.
Sehubungan itu, polis mengeluarkan saman kepada pemandu lori tersebut di bawah Seksyen 9(2), Peraturan-Peraturan Lalu Lintas Jalan 1959 (ln166/59) kerana gagal memberikan laluan kepada kenderaan bomba yang sedang menjalankan tugas kecemasan.
“Polis ingin menegaskan bahawa menjadi tanggungjawab semua pengguna jalan raya untuk memberi laluan kepada kenderaan kecemasan seperti ambulans, polis dan bomba, apabila siren atau lampu amaran digunakan,” katanya.