
Ketua Polis Kajang, Naazron Abdul Yusof, berkata remaja lelaki itu ditahan susulan laporan daripada guru berusia 29 tahun pada Isnin yang dia ditumbuk dan diugut pelajar di dalam kawasan sekolah.
Katanya, siasatan mendapati suspek tidak berpuas hati apabila ditegur oleh pengadu kerana ponteng kelas pendidikan jasmani kesihatan (PJK).
“Suspek tidak berpuas hati lalu bergelut dengan pengadu sehingga suspek mula mengugut dan menumbuk muka pengadu yang ketika itu disaksikan oleh beberapa guru dan pelajar lain,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, bertindak atas maklumat polis menangkap seorang pelajar yang kemudian direman dua hari hingga hari ini.
Katanya, kes disiasat bawah Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara antara setahun hingga dua tahun atau denda tidak lebih RM2,000.
Menurutnya, kertas siasatan dirujuk ke pejabat timbalan pendakwa raya.
Naazron menasihatkan pelajar sentiasa mematuhi peraturan sekolah dan tidak terlibat perbuatan yang boleh menjejaskan masa depan mereka.