
Perintah reman dikeluarkan Majistret Mohammad Izham Mohd Aliyas sehingga 5 Ogos itu dikeluarkan susulan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di Mahkamah Majistret Johor Bahru.
Berita Harian memetik sumber sebagai berkata, dua suspek berusia 40-an ditahan di pejabat SPRM Johor pada 2 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki bersubahat meminta dan menerima wang rasuah sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap seorang individu di atas kesalahan aktiviti perjudian.
“Kedua-dua suspek dipercayai menerima wang rasuah secara tunai,” katanya menurut laporan itu.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Operasi SPRM Johor, Hairul Ilham Hamzah, mengesahkan penahanan itu.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM 2009.