
Ahmed Razman Abdul Latiff dari Putra Business School berkata, kelancaran demonstrasi yang dibanjiri ribuan peserta tanpa kekecohan dan kerosakan harta-benda secara langsung melambangkan kematangan politik.
“Ini memberi isyarat jelas kepada pelabur asing Malaysia mempunyai politik yang stabil,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, himpunan itu juga melambangkan sikap keterbukaan kerajaan dalam meraikan demokrasi.
Bagaimanapun, Abu Sofian Yaacob dari Kolej Universiti i-CATS berpendapat ia boleh menjejaskan sentimen pelabur asing.
“Himpunan ‘Turun Anwar’ tidak semestinya memberi kesan langsung kepada pelaburan asing, tetapi ia boleh mempengaruhi persepsi kestabilan politik yang seterusnya memberi impak terhadap sentimen pelabur.
“Dalam suasana ekonomi global yang mencabar, kestabilan domestik menjadi kelebihan daya saing yang penting bagi sesebuah negara,” katanya.
Katanya, walaupun kebebasan berhimpun melambangkan Malaysia sebagai negara demokrasi, ia boleh mencetuskan ketidaktentuan pasaran apabila himpunan membawa mesej ‘protes’ terhadap kepimpinan tertinggi negara.
“Pada masa sama, pasaran modal serta nilai mata wang dalam jangka pendek turut akan terkesan. Ini kerana pelabur asing amat mementingkan kestabilan politik dan kepastian dasar sebelum membuat keputusan pelaburan jangka panjang,” katanya.
Himpunan ‘Turun Anwar’ yang berlangsung sekitar 11 pagi hingga 5 petang anjuran Pemuda PAS itu bertujuan mendesak Perdana Menteri Anwar Ibrahim meletakkan jawatan, antara lain berhubung isu kos sara hidup.
Penganjur pada awalnya menyasarkan penyertaan 300,000 manakala Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari mendakwa 500,000 peserta hadir.
Namun, polis Kuala Lumpur menganggarkan hanya 18,000 menyertai himpunan itu.