RUU Insolvensi Rentas Sempadan tak hakis kedaulatan

RUU Insolvensi Rentas Sempadan tak hakis kedaulatan

Menteri Azalina Othman Said kata segala bentuk kerjasama antarabangsa tetap tertakluk pada perundangan Malaysia.

azalina othman
Menteri Azalina Othman Said kata undang-undang insolvensi rentas sempadan penting bagi memastikan pelaburan yang masuk dapat dikawal dan diurus. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Rang Undang-Undang (RUU) Insolvensi Rentas Sempadan 2025 tidak akan menghakis kedaulatan, kata menteri menjawab kebimbangan beberapa Ahli Parlimen berhubung kemungkinan campur tangan mahkamah asing dalam urusan kehakiman.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata segala bentuk kerjasama antarabangsa tetap tertakluk ada perundangan Malaysia.

“Undang-undang bersifat prosedur yang selaras dengan UNCITRAL Undang-undang Seragam Mengenai Insolvensi Rentas Sempadan (MLCBI) dan dibina berasaskan empat prinsip utama iaitu akses, bantuan, pengiktirafan dan penyelarasan serta kerjasama,” katanya di Dewan Rakyat, ketika menggulung bacaan kali kedua.

UNCITRAL merujuk kepada Suruhanjaya PBB untuk Undang-undang Perdagangan Antarabangsa.

RUU Insolvensi Rentas Sempadan 2025 mahu memperkenalkan kerangka perundangan moden dalam menguruskan prosiding insolvensi yang melibatkan entiti merentasi sempadan.

RUU selaras prinsip undang-undang antarabangsa ini merupakan usaha menarik pelaburan. Ia diluluskan di Dewan Rakyat selepas dibahas oleh 11 Ahli Parlimen hari ini.

Azalina menjelaskan insolvensi rentas sempadan merujuk pada prosiding terhadap syarikat korporat yang mengalami krisis kewangan serta tidak mampu membayar hutang, dan mempunyai pemiutang dan aset di lebih dari sebuah negara.

Undang-undang ini penting bagi memastikan Malaysia kekal relevan dan diyakini dalam landskap ekonomi global yang semakin kompleks, katanya.

“Pembaharuan dalam aspek perundangan amat penting bagi memastikan pelaburan yang masuk dapat dikawal dan diuruskan secara berkesan,” katanya.

“RUU Insolvensi Rentas Sempadan 2025 ini akan memainkan peranan penting dalam menyediakan platform yang kondusif, dengan izin, ‘feasible and atease’ bagi menyokong sektor perniagaan serta pelaburan yang berpotensi di negara kita.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.