Persatuan pemandu teksi rancang himpunan ‘Kekal Anwar’, undang PM

Persatuan pemandu teksi rancang himpunan ‘Kekal Anwar’, undang PM

Himpunan sebagai respons himpunan 'Turun Anwar' Sabtu lepas akan diadakan pada 27 Sept di Dataran Merdeka.

ANWAR IBRAHIM
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempunyai visi dan keupayaan untuk memacu negara ke arah masa depan yang lebih adil dan makmur, kata Presiden GTSM Kamarudin Hussain.
KUALA LUMPUR:
Sebuah persatuan mewakili pemandu teksi merancang mengadakan perhimpunan bagi menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kerajaan perpaduan di Dataran Merdeka pada 27 Sept ini.

Perhimpunan digelar ‘Kekal Anwar’ itu bermatlamat menonjolkan sokongan rakyat terhadap kepimpinan Anwar serta usaha kerajaan pimpinannya dalam melaksanakan reformasi.

Presiden Gabungan Teksi SeMalaysia (GTSM) Kamarudin Hussain berkata, pihaknya percaya Anwar mempunyai visi dan keupayaan untuk memacu negara ke arah masa depan yang lebih adil dan makmur.

Katanya, kestabilan politik berterusan penting dalam usaha mengekalkan pembangunan ekonomi dan mempertingkatkan kesejahteraan rakyat.

“Kami akui, kami hanyalah sebahagian kecil daripada masyarakat, namun kami yakin bahawa suara dan perhimpunan kami ini akan memberi impak yang besar, bukan sahaja kepada masyarakat dalam negara, malah turut diperhatikan oleh negara luar,” kata Kamarudin, seorang ahli PKR, pada sidang media hari ini.

Bekas ketua PKR Selayang itu turut mengundang Anwar, yang juga presiden PKR, secara rasmi untuk menghadiri perhimpunan itu.

Kamarudin Mohd Hussain, president of Gabungan Pertubuhan Teksi Se-Malaysia (GTSM) fmt 29725
Presiden GTSM Kamarudin Hussain (tengah) pada sidang media, bersama ahli lain persatuan itu, laung slogan sokong PM Anwar Ibrahim.

Selain itu, beliau turut mengundang para pelajar, kumpulan masyarakat sivil dan parti-parti politik Pakatan Harapan serta Barisan Nasional untuk hadir, menggesa mereka agar bersatu padu menyatakan sokongan terhadap kerajaan semasa.

Perhimpunan ini dirancang susulan Himpunan ‘Turun Anwar’ anjuran Pemuda PAS di lokasi sama pada Sabtu lepas, yang dihadiri hampir 20,000 orang.

Beberapa pemimpin pembangkang, termasuk daripada Perikatan Nasional, Urimai dan Muda, serta bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, turut hadir bersama-sama peserta lain dalam menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan dan menggesa Anwar meletak jawatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.