
Bagaimanapun, beliau berkata nilai aset kewangan isi rumah adalah melebihi jumlah hutang yang mana menandakan kedudukan kewangan rakyat secara keseluruhannya masih kukuh.
“Hutang isi rumah harus dilihat bersama dengan aset kewangan isi rumah yang jauh lebih besar.
“Secara agregat, aset kewangan isi rumah kekal melebihi hutang sebanyak 2.1 kali, sekali gus memberikan penampan yang teguh kepada isi rumah,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Awang Hashim (PN-Pendang) yang ingin tahu tentang nisbah tertinggi kadar hutang kepada KDNK.
Menurutnya, bagi hutang isi rumah, kerajaan dan Bank Negara (BNM) sentiasa komited dalam membantu pengguna kredit yang menghadapi kesulitan kewangan.
Menjawab soalan asal dikemukakan Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) yang ingin tahu sama ada kerajaan mempunyai pelan kawal selia perkhidmatan kredit yang dapat menjamin tahap perlindungan pengguna lebih selamat, Lim berkata pinjaman diluluskan oleh institusi kewangan adalah tertakluk kepada Dokumen Dasar Amalan Pembiayaan Bertanggungjawab dikeluarkan dan dilaksanakan BNM sejak 2012.
Beliau berkata, melalui pelaksanaan dokumen dasar itu nisbah khidmat hutang (DSR) bagi isi rumah kekal dalam lingkungan paras hemat dengan median DSR pinjaman terkumpul pada paras 34%, sementara median DSR pinjaman yang baharu diluluskan adalah 41% pada 2024.
“Kedudukan DSR dalam lingkungan paras hemat ini menjadi penampan yang mencukupi untuk isi rumah memenuhi tuntutan hutang masing-masing,” katanya.
Sementara itu, Lim berkata Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) turut menyediakan khidmat nasihat dan bantuan dalam mengurus kewangan serta penstrukturan semula pembiayaan.
Katanya, AKPK berjaya membantu lebih 64,000 peminjam menyelesaikan pinjaman mereka sepenuhnya melalui program pengurusan kredit manakala hampir 270,000 peserta masih aktif meneruskan perjalanan pemulihan kewangan dalam program itu.