Wakil Bersatu gesa teliti RUU Kehadiran Wajib Pesalah, tutup ruang salah guna

Wakil Bersatu gesa teliti RUU Kehadiran Wajib Pesalah, tutup ruang salah guna

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mahu kesalahan seperti pengubahan wang haram tidak layak dapat PKW - yang membenarkan pesalah jalani kerja wajib sebagai ganti pemenjaraan.

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal
Ahli Parlimen Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mahu RUU Kehadiran Wajib Pesalah dirujuk ke jawatankuasa pilihan khas Parlimen untuk semakan.
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen Bersatu menggesa kerajaan meneliti Rang Undang-undang Kehadiran Wajib Pesalah bagi menutup ruang kepada salah guna, di sebalik niat baik yang membawa kepada pindaan 2025.

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) juga mahu RUU itu dirujuk ke jawatankuasa pilihan khas Parlimen untuk semakan, demi kepentingan rakyat dan keluhuran undang-undang.

Katanya, “kesalahan-kesalahan serius seperti pengubahan wang haram, pecah amanah melibatkan penjawat awam atau syarikat berkaitan kerajaan, dan keganasan tidak layak untuk mendapat Perintah Kehadiran Wajib (PKW),” katanya, ketika membahaskan RUU itu.

PKW merujuk kepada perintah mahkamah yang membenarkan pesalah menjalani kerja wajib sebagai ganti kepada pemenjaraan.

RUU ini bertujuan meminda Seksyen 5 yang antaranya meminda subseksyen 5(1) untuk memberi mahkamah kuasa memerintahkan pesalah yang disabitkan dengan kesalahan tidak lebih 10 tahun untuk menjalani PKW.

Ketika ini, PKW hanya boleh diberikan kepada pesalah yang dikenakan hukuman penjara selama tidak lebih tiga tahun.

Wan Ahmad Fayhsal bagaimanapun memberikan suatu senario — seorang ‘tokoh’ disabitkan kesalahan pengubahan wang haram diberi kerja wajib empat jam sehari di pusat komuniti — sebagai contoh.

“Niat yang baik sahaja tidak memadai sekiranya pelaksanaannya membuka ruang kepada penyalahgunaan,” katanya.

RUU pindaan 2025 dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada 23 Julai lepas.

Menurut laporan Berita Harian, pindaan itu antara lain akan meminda subseksyen 5(1A) untuk mengadakan peruntukan bagi pertimbangan yang perlu diambil kira oleh mahkamah sebelum memberikan PKW.

Ia juga akan memasukkan subseksyen baharu 5(1a) untuk memberi mahkamah kuasa bagi menyatakan tanggungjawab yang perlu dipatuhi oleh pesalah dalam PKW.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.