Segerakan pendengaran, 2 panel hakim tambahan akan dilantik

Segerakan pendengaran, 2 panel hakim tambahan akan dilantik

Presiden Mahkamah Rayuan baharu Abu Bakar Jais sifatkan pelantikannya tanggungjawab besar dan bawa cabaran signifikan dalam negara berbilang kaum dan agama.

DATUK ABU BAKAR JAIS
Abu Bakar Jais merupakan presiden Mahkamah Rayuan ke-13 sejak sejak penubuhan Mahkamah Rayuan pada 1994. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Dua lagi panel hakim akan dilantik bagi mempercepatkan pelupusan rayuan kes jenayah dan sivil, kata Presiden Mahkamah Rayuan yang baharu dilantik, Abu Bakar Jais.

Beliau berkata, ketika ini terdapat lapan panel.

“Diharapkan dengan lebih ramai hakim dilantik, kita dapat mempercepatkan pelupusan kes,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan pemasyhuran enam hakim Mahkamah Rayuan dan pengesahan 14 pesuruhjaya kehakiman sebagai hakim Mahkamah Tinggi.

Dengan pelantikan enam hakim tersebut, Mahkamah Rayuan kini mempunyai 32 hakim, iaitu jumlah maksimum yang dibenarkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Bakar merupakan presiden ke-13 sejak penubuhan Mahkamah Rayuan pada 1994.

Mahkamah Rayuan sering dirujuk ‘enjin badan kehakiman’ kerana berfungsi sebagai mahkamah rayuan pertengahan yang menyemak keputusan dibuat Mahkamah Tinggi dan mahkamah atasan bagi kes yang berasal dari mahkamah bawahan.

Bakar menyifatkan pelantikannya sebagai tanggungjawab besar dan cabaran yang signifikan dalam negara berbilang kaum dan agama.

“Sudah tentu sebagai presiden, saya tidak dapat memuaskan hati semua pihak, tetapi saya akan melaksanakan tugas tanpa rasa takut atau pilih kasih,” katanya.

Beliau turut berkata, terdapat ramai hakim berkeupayaan tinggi yang akan membantunya melaksanakan tanggungjawab tersebut.

Turut hadir, Ketua Hakim Negara yang baharu dilantik, Wan Ahmad Farid Wan Salleh, yang sebelum itu mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Di Istana Kehakiman, Bakar mengangkat sumpah jawatan di hadapan hakim kanan Mahkamah Rayuan, P Ravinthran.

Hakim Azizah Nawawi, Hakim Besar Sabah dan Sarawak yang baharu, turut mengangkat sumpah jawatan di hadapan Dean Wayne Daly, hakim paling kanan di Malaysia Timur.

Beliau juga merupakan wanita pertama memegang jawatan tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.