Op Selamat PaPa bermula 1 Ogos

Op Selamat PaPa bermula 1 Ogos

Operasi Selamat Paru-Paru dilancar 1 Ogos bagi perkukuh penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam, khususnya membabitkan vape.

Smoking and vaping
Data Registri Kanser Kebangsaan menunjukkan sebanyak 8,091 kes kanser paru-paru direkodkan antara 2022 hingga 2023, melibatkan 5,251 lelaki dan 2,840 wanita.
KUALA LUMPUR:
Kementerian Kesihatan (KKM) akan melancarkan Operasi Selamat Paru-Paru (Op Selamat PaPa) bermula pada 1 Ogos ini sebagai langkah memperkukuh penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam (Akta 852), khususnya membabitkan rokok elektronik (vape).

Menteri Dzulkefly Ahmad berkata operasi itu bertujuan melindungi golongan lelaki yang merupakan perokok utama, dan wanita dan ahli keluarga lain yang terdedah kepada asap basi (passive smoking).

“Data Registri Kanser Kebangsaan menunjukkan sebanyak 8,091 kes kanser paru-paru direkodkan antara 2022 hingga 2023, melibatkan 5,251 lelaki dan 2,840 wanita,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Ahmad Saad (PN-Pokok Sena) berhubung pendirian kementerian terhadap langkah beberapa kerajaan negeri menghentikan pengeluaran lesen perniagaan rokok elektronik dalam negeri masing-masing.

Dzulkefly berkata KKM menyokong pendirian enam kerajaan negeri yang mengambil sikap tidak memperbaharui lesen penjualan rokok elektronik kepada premis-premis untuk menjual vape.

Menjawab soalan Young Syefura Othman (PH-Bentong) mengenai isu dadah dalam vape, beliau berkata kementerian sedang meneliti pengharaman segera terhadap penggunaan sistem terbuka yang membolehkan cecair vape diubah suai atau dicemari dengan bahan terlarang.

“Bagi tempoh hingga Jun 2025, sebanyak 58 kertas siasatan dibuka dan hampir 70% daripadanya didapati positif bahan-bahan terlarang dalam vape (antaranya) methamphetamine dan synthetic cannabinoids,” katanya.

Pada sidang media, Dzulkefly berkata KKM sedang meneliti langkah ke arah pengharaman sepenuhnya penggunaan dan penjualan rokok elektronik.

“Akta 852 ialah akta kawal selia dan tidak menyentuh soal pengharaman, jika pengharaman mahu dilaksanakan, ia perlu berdasarkan cadangan baharu,” katanya.

Beliau berkata sebarang cadangan pengharaman penuh akan mengambil kira pelbagai faktor termasuk bukti saintifik, kes EVALI (kecederaan paru-paru yang dikaitkan dengan penggunaan rokok elektronik atau vape), aspek perundangan, implikasi terhadap industri, ekonomi serta keberkesanan penguatkuasaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.