Lelaki mengaku tak salah 58 tuduhan tipu rakan RM1.3 juta

Lelaki mengaku tak salah 58 tuduhan tipu rakan RM1.3 juta

V Elenggo didakwa memperdaya bekas rakan sekolahnya T Chandrarajan bagi membiayai pelbagai projek fasiliti di sebuah sekolah antarabangsa.

mahkamah sungai petani
Mahkamah Majistret Sungai Petani menetapkan ikat jamin RM125,500 bagi 58 pertuduhan. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Seorang bekas kakitangan sekolah antarabangsa di ibu negara mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Majistret Sungai Petani atas 58 pertuduhan penipuan kira-kira RM1.3 juta lima tahun lalu.

Sinar Harian melaporkan V Elenggo, 56, yang berasal dari Seremban memohon dibicarakan atas semua pertuduhan dibacakan di depan Majistret Muhammad Syaiful Akmal Mohamad Razi dan Mohamad Azlan Basri.

Dia didakwa memperdaya mangsa yang juga bekas rakan sekolahnya, T Chandrarajan, 56, bagi membiayai pelbagai projek fasiliti di sekolah antarabangsa itu membabitkan kerja pemasangan sistem serta peralatan kemudahan.

Ahli perniagaan dari Kedah itu kemudian memindahkan wang dalam talian ke beberapa akaun bank berjumlah kira-kira RM1.3 juta antara Februari hingga Julai 2020.

Elenggo didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Peguam P Suresh memohon jumlah jaminan dikurangkan atas alasan ia hanya bagi memastikan kehadiran tertuduh di mahkamah sepanjang perbicaraan.

Katanya, tertuduh memberi kerjasama penuh kepada polis sepanjang siasatan dan berharap jumlah jaminan munasabah dipertimbangkan.

Mahkamah menetapkan ikat jamin RM125,500 bagi 58 pertuduhan dan menetapkan sebutan semula kes pada 14 Ogos ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.